PETALING JAYA - Rakyat disaran untuk menolak terus politik yang berbentuk ganas dan lucah agar keadaan itu tidak menjadi budaya politik di negara ini. Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan (PUMWP), Dr Mohd Fauzi Zakaria berkata, perang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah bermula dan pelbagai cara untuk menjatuhkan pihak lawan sudah dilakukan oleh parti yang bertanding.

"Gejala politik ganas dan lucah seperti serang peribadi lawan dalam kempen politik dengan fitnah seks bertujuan aibkan dan menjatuhkan maruah individu yang disasarkan semakin menjadi-jadi.

"Rakyat harus mengisytiharkan perang ke atas politik seperti ini yang akan menghina maruah dan integriti politik negara di mata dunia," katanya pada sidang media selepas majlis Wacana Kepimpinan Islam dan Isu semasa menjelang PRU13 semalam.

Selain PUMWP, wacana itu turut disertai oleh Teras Kepimpinan Keupayaan Melayu (Teras), Majlis Ulama Asia Tenggara (Shura) dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim)
Menurut Mohd Fauzi, pihaknya menggesa semua pihak yang melaksanakan kempen ketika PRU13 tidak terjebak dengan politik kotor sekali gus tidak membenarkan sebarang pihak menjadikan pilihan raya ini sebagai pilihan raya paling kotor dalam sejarah Malaysia.

"Usaha maksimum untuk menjernihkan politik negara ini perlu dilancarkan oleh semua pihak. Kita tidak mahu kempen seumpama itu menjadi budaya politik dalam negara kita yang mana mampu merosakkan generasi dan negara sendiri," katanya.

Menurut Presiden Teras, Mohd Azmi Abd Hamid, semua pihak terutamanya pihak berkuasa tidak sepatutnya membiarkan budaya intimidasi agar huru-hara tidak berlaku di negara ini.

"Ketika ini keadaan seolah-olah 'bom jangka' kerana banyak pihak yang cuba mencetuskan provokasi, oleh itu kita minta pihak berkuasa jalankan tugas mereka dengan profesional agar pihak yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

"Budaya intimidasi ini sangat bahaya kerana jika dibiarkan sudah pasti akan timbul huru-hara yang mana pihak yang ditekan tidak dapat menahan kesabaran mereka," katanya.

Mengulas mengenai memilih kepimpinan yang tepat dan menolak serangan peribadi yang berbentuk lucah, Mohd Azmi berpendapat, rakyat perlu bijak menilai dengan diselarikan amalan demokrasi yang dituntut Islam.

"Agama menolak untuk kita membudayakan politik fitnah dan lucah ini, bukan sahaja individu itu saja yang malu tetapi seluruh negara juga mendapat aib," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Shura, Abd Ghani Samsudin berkata, pihaknya berpendirian tanggungjawab mengundi adalah proses mengguna ruang demokrasi yang diamalkan sekarang dan ia perlu ditunaikan untuk memastikan kepentingan umat.

"Amalan pilihan raya perlu dimanfaat untuk tubuhkan sebuah kerajaan yang adil. Kami sanggah pendapat penglibatan umat Islam dalam pilihan raya bertentangan dengan Islam," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa pihak berkuasa memandang serius soal penyebaran video dan gambar lucah mengaitkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang mula tersebar, Khamis lalu.
  • KOTA BHARU - Fitnah yang dilemparkan kepada golongan ulama sejak kebelakangan ini membuktikan manusia zaman sekarang semakin hilang ketakwaan dalam diri, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
  • KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu meminta individu yang bertanggungjawab memuatnaik dan menyebarkan rakaman video lucah menyerupai pendakwah dan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) segera bertaubat.
  • MARANG - – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bersedia melafazkan sumpah laknat berhubung video seks yang dikaitkan dengan dirinya yang dikatakan tersebar sebelum ini, sekiranya isu tersebut boleh menjejaskan Pas.
  • KOTA BHARU - – Polis Diraja Malaysia (PRDM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terbabit dalam penyebaran video seks didakwa mirip pemimpin kanan Pas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.