KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hairan mengapa Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bertindak tergesa-gesa menjual 500,000 unit saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang dibelinya sedangkan pembelian itu mampu memberi keuntungan kepada rakyat Kedah untuk jangka masa panjang.
"Secara pentadbiran sesiapa pun boleh jual (saham FGV), tetapi mungkin mereka cemburu kerana mereka tidak berupaya melakukan apa yang telah kerajaan Barisan Nasional lakukan.
"Saya berpendapat saham FGV akan memberi keuntungan kepada pemegangnya, justeru memberi keuntungan kepada PKNK yang seterusnya dapat memberi manfaat daripada keuntungan itu kepada rakyat," katanya semalam selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Felda dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi menanam semula getah di kawasan Felda seluas lebih 16,873 hektar dengan nilai bantuan lebih RM155.7 juta.
Kelmarin, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mendakwa wujud 'misconduct' dilakukan pegawai PKNK terhadap pembelian saham FGV di mana pegawai itu membeli saham tersebut tanpa merujuk anggota lembaga pengarah PKNK terlebih dahulu.
Mahfuz berpendapat ia mungkin disebabkan 'kegagalan pegawai yang terbabit memahami dan menjiwai keputusan politik dan parti' yang menguasai negeri tersebut.
Pegawai Eksekutif PKNK Datuk Abdul Rahman Ibrahim pada Jumaat lepas berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hanya meluluskan 500,000 unit daripada permohonan asal PKNK iaitu 1 juta unit saham FGV dan sebanyak 50,000 daripadanya telah dijual dengan keuntungan sebanyak RM47,500.
Sementara itu, Isa ketika mengulas isu itu berkata pegawai PKNK berkenaan bertindak bijak dengan merebut peluang keemasan membeli saham yang menjadi rebutan seluruh dunia.
"Mahfuz sebenarnya 'misconduct' sepatutnya dia bersyukur kerana pegawai PKNK cerdik dan begitu cekap, kalau dia tidak ambil peluang ini bila dia nak dapat, saham ini 'hot' sampai lebih permintaan.
"Dalam perniagaan sesuatu peluang keemasan itu mesti rebut segera, kalau tunggu, orang lain ambil. Masa kita tawarkan tak boleh tunggu lama, tak boleh tunggu tanya ahli lembaga pengarah, anggota Parlimen itu semua tak sempat," katanya dipetik Bernama.
- Najib sampai ucapan pembukaan Persidangan Global Women Deliver 2013
- Harga 13 barangan dikawal sempena Pesta Kaamatan
- RON97 turun 20 sen mulai malam tadi
- Kunjungan Obama bukti Malaysia negara penting secara strategik
- Perhimpunan haram halang polis tumpu pencegahan jenayah
- Jangan terpengaruh e-mel guna nama isteri PM
- Turun harga kereta wujudkan persaingan sihat
- PDRM tubuh Jabatan Pencegahan Jenayah
- Imigresen sedang laksana pembaharuan pasport Malaysia
- IPTA ditambahbaik capai ranking 50 terbaik dunia




