PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan proses pilihan raya di Lahad Datu dan Semporna, Sabah  akan ditunda sekiranya konflik di kawasan itu berterusan dan diisyhtiharkan darurat oleh pihak berkuasa.

"Itu tidak mustahil. Kawasan yang tidak terlibat, aman damai patut diteruskan," ujar pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media di ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Menyatakan kesediaan suruhanjaya itu untuk mengadakan pilihan raya dalam apa jua keadaan, Aziz bagaimanapun yakin insiden pencerobohan yang berlaku di negeri Sabah itu akan berakhir dalam masa terdekat.

"Kita tidak tahulah akan datang dan bukannya (pilihan raya) hendak dibuat dalam masa terdekat ini.

"Saya yakin konflik ini, masalah ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," ujarnya lagi.

Dilaporkan keadaan di kedua-dua daerah itu sudah kembali terkawal.

Dilaporkan juga sekolah-sekolah yang ditutup bermula 1 Mac lalu, sudahpun dibuka semula.

Menurut Aziz lagi, penundaan tarikh pilihan raya di dua kawasan ini jika darurat diisyhtiharkan berlaku, masih tertakluk kepada peraturan-peraturan yang digariskan.

"Jika darurat dan kita lihat pula peraturan-peraturan perintah darurat itu,  maka SPR akan mengambil pertimbangan tentang perkara itu sebelum membuat keputusan muktamad tentang pilihan raya umum di kawasan itu," ujarnya

.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.