KULAIJAYA - Kerajaan menjanjikan lebih banyak bantuan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) jika ia mendapat mandat untuk meneruskan program transformasi ekonomi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan pelbagai program transformasi ekonomi itu bukan sahaja telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi semasa tetapi turut menambah pendapatan negara.

"Dengan pendapatan yang bertambah, hasilnya kerajaan akan pulangkan semula kepada rakyat seperti yang kita lakukan menerusi BR1M 1, BR1M2.0 dan BR1M 3.0," katanya kepada lebih 10,000 yang menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika mahukan agenda transformasi ekonomi negara yang memberi pelbagai manafaat kepada rakyat itu diteruskan, maka kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu diberikan mandat untuk terus memerintah negara ini.

"Jikalau mandat itu diberikan (kepada kerajaan BN) untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat, Malaysia akan mempunyai masa depan yang cukup hebat dan cemerlang," katanya yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Turut hadir pada majlis sambutan itu termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Ahli Parlimen Kulai, Tan Sri Ong Ka Ting, beberapa menteri
kabinet dan pemimpin parti komponen BN.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi program transformasi ekonomi telah berjaya meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia daripada AS$6,700 (RM20,759) pada penghujung 2009 kepada AS$9,750 (RM30,210) pada
penghujung 2011.

Perkara itu adalah bertepatan ke arah usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, kejayaan pengurusan ekonomi negara itu turut meyakinkan agensi pelaburan Qatar untuk membuat pelaburan bagi membina Hotel Harrods yang pertama di dunia di Kuala Lumpur.

Selain Hotel Harrods itu, katanya, pelabur yang berkeyakinan terhadap program transformasi ekonomi Malaysia turut akan melabur berbilion ringgit bagi membina Hotel Four Seasons setinggi 65 tingkat di ibu negara.

Perdana Menteri berkata Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2006 sehingga akhir tahun lepas juga telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM106 bilion dari dalam dan luar negara.

Pada 19 Februari ini, Najib berkata, beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong akan melawat Iskandar Malaysia dan merasmikan projek ikonik 'Wellness Township'.

"Program transformasi ekonomi negara sedang berjalan dengan pantas dan rakyat telah pun menerima faedah serta manfaatnya. Bukti kejayaan program transformasi itu boleh dilihat di sekeliling kita," katanya.

Beliau memberi contoh Johor Premium Outlet (JPO) yang terletak di Kulaijaya yang akan memulakan projek pembesaran fasa keduanya, walaupun pembukaannya baru sahaja dirasmikan tidak lama dahulu.

Perdana Menteri berkata di bawah projek fasa kedua itu pihak pengurusan JPO akan menambah 70 lagi kedai.

Beliau berkata pasaran sedang menunggu mandat yang jelas daripada rakyat kepada kerajaan, yang akan menyaksikan ia melonjak ke suatu tahap yang lebih tinggi dan keyakinan pelabur melambung.

"Semua akan menerima faedahnya jika kita membuat keputusan yang tepat," kata beliau.

Menurutnya manfaat demi manfaat yang diterima oleh rakyat hasil kejayaan program transformasi ekonomi yang dilaksanakan itu membuktikan kerajaan menepati segala janji yang dibuatnya.

"Kita tidak menjual janji demi janji sebagaimana yang dilakukan oleh pembangkang. Kerajaan melaksanakan 'Janji Ditepati' terhadap segala yang dijanjikan kepada rakyat," katanya.

Perdana Menteri pada majlis yang sama turut menyampaikan bantuan BR1M 2.0 kepada 20 penerima daripada kawasan Parlimen Kulai. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pelantikan bakat tempatan Kapten Izham Ismail untuk menerajui Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) syarikat penerbangan negara itu perlu disambut baik oleh semua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penguasaan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang digunakan secara berhemah terbukti mampu mengubah taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD 2017) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
  • PUTRAJAYA - "Strategi 'Cloud First' atau Pengkomputeran Awan Pertama akan diperkenalkan dalam agenda nasional, bermula dengan sektor awam, kerana ia amat penting bagi transformasi digital organisasi," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.