PETALING JAYA - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa setiap peneroka akan menerima ganjaran sebanyak RM15,000 susulan penyenaraian Felda membuktikan sekali lagi bahawa pentadbiran Barisan Nasional (BN) membolot kekayaan sesama mereka sedangkan rakyat diberi hampas dan imbuhan kecil saja.

Menurut Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri, Wong Chen, PKR telah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) untuk menentukan nilai sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi peneroka Felda.

Proses ini turut melibatkan perbincangan dengan penganalisis pasaran untuk menentukan prestasi FGVH dan harga seunit saham apabila disenaraikan kelak.

“Felda akan menjual 59 peratus dari pegangannya seterusnya FGVH bakal menerbitkan saham baru berjumlah 980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur baru, dan setiap unit saham dijual dengan harga RM4.65 seunit,” katanya.

“Dana tambahan yang dikutip oleh Felda adalah berjumlah RM5.6 bilion manakala dana tambahan yang dikutip oleh FGVH berjumlah RM4.557 bilion,” katanya.

Keluarga peneroka sebanyak 112,635 berhak menerima keuntungan dari proses penyenaraian ini kerana tanah mereka yang seluas 840,603 telah diusahakan oleh pihak Felda Plantation Sdn Bhd adalah milik mereka.

Tambah beliau, tanah yang dipajakkan kepada FGVH memberi nilaian yang besar dalam penyenaraian ini kerana tanpa tanah yang diambil oleh Felda, penyenaraian FGVH akan gagal.

Oleh itu, pihaknya berpendapat Najib wajib mengagihkan kesemua dana yang dikutip oleh Felda kepada para peneroka yang bersamaan RM50,000 setiap keluarga.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli juga menambah, pentadbiran BN mesti memperincikan bagaimana baki sebanyak RM3,942 bilion ini dibelanjakan supaya ada ketulusan dan amanah.

“Keadilan berpendapat Datuk Seri Najib harus berterus terang kepada rakyat bahawa hanya 30 peratus (RM15,000) dari dana yang dikutip diagihkan kepada peneroka," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.