KUALA LUMPUR - Walaupun pada usia 38 tahun dan boleh dianggap muda bagi seorang penulis watikah "diraja", Abdul Baki Abu Bakar, sudahpun berpengalaman menghasilkan watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak 2002.

Penulis khat yang pernah menghasilkan sebuah Mushaf al-Quran Malaysia pada 1999 ini, kini diberikan pula tanggungjawab oleh Istana Negara bagi menyediakan empat watikah khas sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April ini.

Empat watikah khas itu ialah Watikah Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, Watikah Ikrar, Watikah Doa dan Watikah Perisytiharan Pertabalan Abdul Baki, yang berpengalaman lebih 16 tahun dalam bidang kaligrafi khat, berkata watikah-watikah itu menggunakan khat jawi 'diwani', 'thuluth' dan 'nasakh' yang ditulis tangan di atas kulit kambing yang disediakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan.

Watikah itu yang mengambil masa seminggu untuk siap, memerlukan ketelitian ketika menulis kerana kulit kambing mempunyai tekstur yang agak licin seperti berminyak dan berbintik-bintik, kata usahawan dari Baling kepada Bernama.

Pemilik perusahaan Diwani Kraf itu berkata watikah itu ditulis di atas kulit kambing bagi memastikan ianya tahan sehingga beratus-ratus tahun.

Abdul Baki berkata, penyediaan watikah itu perlu melalui beberapa peringkat, bermula dengan aspek melakar skrip menggunakan pensil bagi mengelak kesalahan dan mengimbangi tulisan.

Seterusnya, ia akan diperiksa oleh wakil Istana Negara sebelum proses terakhir menulis menggunakan sejenis pen khas iaitu 'batang resam' dengan dakwat kalis air yang terbaik dari Jepun.           

Abdul Baki turut terlibat dalam menyediakan watikah yang serupa bagi pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2002 dan Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2007.

Pada masa itu, beliau bertugas sebagai Eksekutif Kanan Kaligrafi Yayasan Restu di mana yayasan itu diberi tanggungjawab untuk menyediakan watikah serta surat jemputan pertabalan kedua-dua Yang di-Pertuan Agong.

Untuk pertabalan kali ini, Diwani Kraf turut diberikan tanggungjawab oleh Istana Negara untuk menghasilkan 15 surat jemputan kepada kesemua Raja Melayu, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Yang Dipertua Negeri serta kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Baki berkata setiap satu surat jemputan itu ditulis tangan dengan menggunakan khat 'diwani' dan 'nasakh'.

Proses menghasilkan surat jemputan itu mengambil masa sehari, yang turut  melalui proses yang sama seperti watikah pertabalan.

Kreativiti Abdul Baki dalam kaligrafi khat turut mendapat pengiktirafan dari negara luar selepas memenangi pertandingan tulisan khat, antaranya di Algeria, Brunei dan Turki.

Malah khidmatnya juga pernah digunakan untuk menghasilkan ukiran di beberapa masjid dan bangunan terkenal di dalam dan di luar negara, antaranya Masjid

Ar-Rahman di Baltimore, Amerika Syarikat, dan Masjid Al-Hidayah Sentul, Istana Darul Ehsan di Putrajaya dan Balairong Seri, Istana Shah Alam. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.