KUALA LUMPUR - Seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Prof Dr Kang Kyoung Seok, daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.
Menurutnya, tulisan jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.
"Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?," kata Dr Kang yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama.
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, menegaskan media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.
Kyoung Seok berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya.
Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemahkan lebih banyak buku ke tulisan jawi, katanya.
Kyoung Seok menarik perhatian bahawa sistem ejaan jawi sekarang perlu dikembalikan kepada sistem ejaan jawi Za'ba yang lebih ringkas dan mudah dipelajari bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya generasi muda menggunakan sistem tulisan itu.
Beliau berkata jika rakyat Malaysia menguasai sistem ejaan jawi Za'ba, mereka akan lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno, malah mampu memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun.
"Ini kerana asas ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran. Tulisan jawi sekarang asasnya daripada tulisan rumi yang 'lari' daripada asas tulisan jawi kuno," jelas beliau.
Beliau berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar tulisan jawi terutamanya daripada kalangan generasi muda bagi menggantikan pakar yang telah bersara.





