SHAH ALAM – Pengusaha stesen minyak tidak akan bankrap sekiranya syarikat pembekal minyak bijak mengimbangi jumlah pengeluaran sebelum penurunan harga minyak di pasaran.

Pensyarah ekonomi dari Universiti Teknologi Mara, Dr Baayah Baba berkata, sekiranya harga minyak jatuh mendadak, pembekal perlu sama menyerap kerugian itu agar peruncit tidak terjejas teruk.

“Kos itu perlu diserap bersama antara pembekal dan peruncit, baru dapat mengimbangi untung rugi di saat harga turun mendadak. Masalah berlaku apabila stesen minyak ini perlu menyimpan minyak untuk tempoh tiga hari dan stok masih banyak kerana orang ramai mahu tunggu harga turun.

“Itu yang mereka kata mereka akan rugi, sebenarnya mereka tidak akan rugi kerana mereka juga akan membeli harga dengan kadar yang lebih murah pada penurunan itu,” katanya.
Menurut Baayah, kerajaan juga ada memberikan subsidi kepada pengusaha stesen minyak bagi mengimbangi keadaan itu.

“Inisiatif yang dibuat kerajaan sudah baik, bukan sahaja mengambil kira keadaan rakyat sebagai pengguna tetapi pihak syarikat minyak juga sudah diberi jaminan oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Hashim Othman dilaporkan berkata, sebuah stesen minyak dianggarkan mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM100,000 sejak harga petrol RON95 dan RON97 turun 35 sen seliter bermula 1 Januari lalu.

Beliau turut mendakwa, sekiranya berlaku dua atau tiga kali lagi penurunan harga minyak, tidak mustahil ada antara 3,500 pengusaha stesen minyak akan gulung tikar.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin percaya kerajaan sudah mengambil kira segala aspek sebelum memperkenalkan sistem apungan terkawal bagi petrol dan diesel.

Katanya, kerajaan sudah membuat pengiraan mengenai mekanisme yang akan digunakan bagi memastikan semua pihak tidak akan rugi.

“Di peringkat pembekal dan peruncit juga, ada subsidi dan ganti rugi yang dibayar kerajaan. Pada pandangan saya, mana mungkin mereka akan bankrap sedangkan sebelum harga baharu diisytiharkan (turun), di peringkat pembekal harga itu sudah diturunkan.

“Setiap liter yang dijual sudah ada margin keuntungannya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihati pengusaha stesen minyak untuk duduk berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sekiranya keadaan itu benar-benar membimbangkan mereka untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.