$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau tidak boleh meramalkan tarikh pembubaran Parlimen atas alasan "tidak dapat baca apa yang ada dalam hati Perdana Menteri."
“Apabila beliau menyatakan PRU akan diadakan bila-bila masa, ia bermaksud bermula dari sekarang hingga 28 April 2013.
"Maknanya, ia mungkin dijalankan tahun ini atau tahun depan," katanya selepas menerima Anugerah Umar Abdul Aziz sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Stadium Malawati di sini, hari ini.
Bagaimanapun jelas beliau, menjadi tanggungjawab SPR untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh dua bulan sebaik saja Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Minggu lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PRU13 akan datang boleh diadakan bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.
Beliau berkata, masa untuk mengadakan pilihan raya umum kali ke-13 berkenaan bergantung kepada banyak factor,namun ia boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya Parlimen akan dibubar pada minggu hadapan untuk memberi ruang kepada PRU13. PRU12 diadakan Mac 2008 dan mandat semasa hanya akan berakhir April 2013.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menafikan dakwaan menyatakan badan itu bercadang untuk menghalang rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan tidak membayar cukai, daripada mengundi pada PRU.
Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan yang dibuatnya sebelum ini, disalah tafsirkan sehingga mencetuskan bantahan dan mendapat kecaman pelbagai pihak.
Menurutnya, dalam kenyataannya sebelum ini, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara perlu mematuhi syarat ditetapkan untuk menjadi pengundi pos, sebagaimana yang dilaksanakan di negara-negara lain.
“Tidak semestinya semua penduduk mereka yang berada di luar negara layak menjadi pengundi pos, jadi saya beri contoh beberapa negara seperti di Amerika Syarikat. Pengundi-pengundi pos mereka hendaklah terdiri daripada pembayar-pembayar cukai di negara itu.
“Saya tidak sama sekali sebut untuk mengenakan atau mengesyorkan, hanya pembayar cukai saja boleh mengundi pos di luar negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kritikan yang diterimanya berhubung cadangan tersebut.
Abdul Aziz berkata, syarat-syarat berhubung pengundi pos masih di peringkat cadangan dan pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan jawatan kuasa Parlimen, sebelum menunggu masa sesuai untuk mengumumkannya.
“Apabila cadangan syarat-syarat kelayakan pengundi pos itu dipersetujui, kita akan pinda undang-undang dan umumkan kepada orang ramai,” katanya.
Menurutnya, individu terlibat perlu mengemukakan permohonan untuk menjadi pengundi pos terlebih dahulu, sebelum pihaknya membuat keputusan berdasarkan kepada syarat-syarat ditetapkan.
“Kalau dia tidak mohon sebagai pengundi pos, kita tidak boleh berbuat apa-apa walaupun dia duduk luar negara dan cukup syarat.
“Selepas permohonan dibuat, kita akan lihat syarat lain seperti sudah berapa lama dia tinggal luar negara dan tentukan tempoh dia pernah balik ke Malaysia ini supaya individu tersebut tahu mengenai berita di negaranya atau kawasan tempat tinggalnya. Jika dia tidak pernah balik, tiada maknanya kita benarkan dia untuk mengundi dan tiada negara yang benarkan syarat seperti itu,” katanya.
Rabu lalu, Abdul Aziz dilaporkan sebagai berkata, pihaknya sedang menentukan kriteria yang perlu dipatuhi untuk rakyat Malaysia yang bekerja dan menentap di luar negara sebelum dibenarkan mengundi.
Berikutan itu, kenyataan beliau mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang membantah cadangan tersebut antaranya parti Gerakan, PKR dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0.





