SASTERA adalah perkataan membawa maksud hasil seni yang disampaikan melalui bahasa, sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan.

Sastera juga cukup rapat dan tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia, sebagai contoh mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu merupakan hasil sastera.

Berbeza pula pandangan bagi Pensyarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman yang melihat sastera itu bukan sahaja sesuatu hasil seni indah, malah ia adalah sebahagian daripada budaya dan peradaban sesuatu bangsa. 

Katanya, Malaysia sebuah negara unik kerana mempunyai penduduk berbilang bangsa dan mempunyai kepelbagaian adat serta budaya.

“Saya belajar mengenai adat dan budaya rakyat seperti Melayu, Cina dan bangsa-bangsa lain melalui sastera kerana di dalamnya ada menceritakan tentang cara hidup dan amalan mereka.

“Dari situ kita belajar menghormati adat dan agama bangsa lain dan cuba elakkan menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menceritakan semula kecenderungan terhadap sastera Melayu, Raja Rajeswari berkata, minat terhadap sastera berputik sejak di bangku sekolah lagi.

Meminati sastera berbentuk puisi, Raja Rajeswari cukup menghargai dorongan yang telah diberikan oleh mendiang bapanya supaya berkecimpung dalam dunia sastera.

“Mungkin minat itu timbul disebabkan oleh latar belakang saya sendiri. Mendiang ayah saya merupakan seorang penyair dan apa yang membezakan saya dengan dia adalah beliau berkarya dalam bahasa Tamil, manakala saya dalam bahasa Melayu.

“Begitu juga dengan sistem pendidikan ketika itu iaitu sekitar tahun 1970-an, bagi mata pelajaran bahasa Melayu ada buku bacaan ringan untuk sastera,” katanya.

Menyatakan lebih lanjut mengenai puisi, beliau berkata, puisi Melayu merupakan salah satu bentuk penulisan sastera unik kerana membawa maksud tersirat dalam pelbagai perspektif.

"Jadi saya cuba sampaikan mesej saya melalui puisi supaya pembaca dapat menilai sendiri maksud yang cuba digarapkan oleh saya," katanya.

 

Nilai murni dalam sastera Melayu perlu jadikan teladan

Beliau yang juga aktivis sastera berkata, nilai-nilai murni dan pengajaran yang terdapat dalam sastera Melayu tradisional perlu diikuti masyarakat hari ini.

“Cukup sayang jika masyarakat hari ini meminggirkan sastera kerana ia mampu menjadi ejen bagi mendidik masyarakat bertoleransi dan bersatu padu.

“Sebagai contoh, kalau kita baca mengenai sejarah Melayu lama, cukup banyak nilai-nilai yang cuba disampaikan,” katanya.

Justeru beliau berharap supaya sistem pendidikan di negara ini mengambil pendekatan memperkenalkan sastera dalam bahasa Melayu di peringkat rendah.

“Mengapa saya kata di peringkat sekolah rendah. Ini kerana pendidikan awal kanak-kanak penting bagi memastikan jati diri mereka kuat.

“Saya rasa jika diperkenalkan semula, saya rasa kita tidak perlukan pendidikan sivik sebagai subjek membentuk masyarakat. 

“Sebagai contoh, sewaktu saya bersekolah, anak Melayu, anak Cina dan anak India membaca buku-buku sastera. Kami boleh berkawan baik dan memahami antara satu sama lain,” katanya.

 

Tidak kekok bekerja bersama orang Melayu

Merupakan seorang pensyarah bahasa Melayu, Raja Rajeswari menganggap itu adalah satu kelebihan buatnya kerana berjaya menguasai bahasa itu dengan cukup baik.

Satu-satunya pensyarah berbangsa India di Institut Pendidikan Guru, Raja Rajeswari juga tidak pernah kekok bekerja bersama tenaga pengajar lain yang majoritinya adalah Melayu.

“Saya satu-satunya orang India di kampus Bahasa Melayu dan saya tidak rasa ia sesuatu yang kekok. Saya juga satu-satunya pensyarah bukan Melayu yang mengajar bahasa Melayu,” katanya.

Menurutnya, walaupun bekerja bersama orang-orang Melayu, beliau tidak merasakan wujud tembok pemisah antara kaum.

“Persekitaran tempat kerja saya cukup menarik, kami boleh makan bersama, boleh lakukan aktiviti bersama dan berbincang dengan baik.

“Sebab itu saya ingin saya tekankan di sini bahawa bahasa Melayu itu perlu dikuasai oleh mereka yang bergelar rakyat Malaysia kerana bahasa itu penghubung antara kaum,” katanya.

Malah, beliau turut mengkaji al-Quran untuk dijadikan rujukan dalam penulisan ilmiah dan kritikan terhadap hasil karya.

Ditanya adakah beliau menggemari kepelbagaian masakan di negara ini, Raja Rajesawari berkata, semua masakan termasuk masakan Melayu dan Cina digemarinya.

“Saya sukakan masakan dan makanan Melayu kerana rasa pedasnya itu seakan-akan masakan India. Kalau tanya apa makanan kegemaran saya, saya akan jawab nasi ambeng,” katanya.