SERDANG - Seramai 51 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi khidmat menceriakan kawasan sekolah sempena gotong-royong perdana anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Serdang.

Pengetua Kolej Canselor UPM, Dr Paiman Bawon berkata, misi ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar supaya lebih dekat dengan komuniti dan menyemarakkan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar untuk membantu orang lain.

“Sebagai pengetua saya ingin melihat pelajar UPM ini bukan sahaja mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran tetapi memiliki sifat kesukarelawanan yang ingin memberi khidmat bakti bukan sekadar di UPM bahkan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Majlis berkenaan juga melibatkan 500 orang pelajar SMK Serdang juga turut membantu dalam usaha menceriakan kawasan sekolah tersebut.

Menurut, Datin Kamariah Mohamad, Pengetua SMK Sri Serdang, program seperti ini memberikan banyak manfaat kepada sekolah.

“Usaha yang dilakukan oleh UPM  selaras dengan Lonjakan ke -9, pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, iaitu kesohoran global, kami berharap lebih banyak lagi kerjasama yang boleh disumbangkan oleh UPM terutamanya dari aspek kepakaran mereka yang mampu mengangkat sekolah ini pada peringkat global."

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang sehari program berlangsung seperti, mengecat jalan, membersihkan kelas, menanam pokok bunga dan banyak lagi.

Bagi Presiden Majlis Teringgi Mahasiswa Kolej Canselor, Rosni Muhammat Daut, peglibatan pelajar dalam aktiviti sukarelawan sebenarnya dapat membentuk jati diri mereka secara tidak langsung.

“Semoga  usaha ini akan melahirkan mahasiswa yang punyai jati diri yang positif dan membentuk sikap sukarelawan dalam diri mereka walaupun secara perlahan-lahan.

 “Kami berasa seronok dapat menyumbangkan tenaga dan idea kami kepada sekolah dan masyarakat setempat," katanya.

Aktiviti ini akan diteruskan Universiti Putra Malaysia dam usaha melahirkan lebih ramai lagi sukarelawan dalam kalangan pelajar UPM.