KUALA LUMPUR - Sebuah pasukan petugas khas telah dibentuk untuk memulakan kerja-kerja asas bagi pelaksanaan ‘Skim Peduli Sihat’ kebangsaan bagi kumpulan B40, dalam memenuhi janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU14.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan petugas khas itu diketuai oleh pakar yang memiliki kemahiran mendalam dan pengalaman luas dalam menguruskan program yang sama di tempat lain seperti Skim Peduli Sihat kerajaan negeri Selangor.

“Dijangkakan versi ‘Skim Peduli Sihat’ yang dinasionalisasi itu  akan memberi manfaat kepada lebih daripada 2 .6 juta isi rumah di negara ini atau sekitar 10.4 juta orang.

Pakej manfaat skim ini juga akan diperluaskan untuk meliputi pesakit luar, perkhidmatan pesakit dalaman dan perkhidmatan kesihatan pencegahan,” katanya dalam ucapannya pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Pembiayaan Kesihatan di Auditorium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) Pusat Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata, mekanisme pembelian strategik akan digunakan untuk memastikan skim itu dapat memperoleh nilai wang serta memperkenalkan insentif yang tepat untuk penyedia kesihatan bagi menggalakkan kedua-dua perkhidmatan pencegahan dan penyembuhan kepada penduduk sasaran.

Di bawah skim ini, beliau berkata, kementerian juga merancang untuk menyediakan  tempat  penjagaan bayi  berusia sehingga enam bulan di tempat kerja untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini di kalangan bayi di rumah atau di pusat penjagaan kanak-kanak.

Beliau menambah sungguhpun  pelaksanaan skim itu tersenarai dalam 100 hari janji kerajaan PH, pihak kementerian  sekurang-kurangnya akan melancarkan rancangan skim dalam tempoh tersebut.

Dr Dzulkefly berkata untuk fasa seterusnya, kerajaan juga akan membangun dan melaksanakan Program Insurans Sosial sebagai pakej kesihatan tambahan bagi kumpulan M40 dan T20.

Persidangan Antarabangsa mengenai Pembiayaan Kesihatan itu yang  bertema ‘Menggerakkan Sumber Komuniti Ke Arah Pembiayaan Kesihatan Berkelanjutan’ dianjurkan bersama oleh Pusat Antarabangsa untuk Casemix dan Pengkodan Klinikal, Fakulti Perubatan UKM dan Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia (MAHEA).

Turut hadir pada majlis penutup persidangan dua hari itu ialah presiden MAHEA Prof Datuk Dr Syed Mohamed Al Junid dan naib canselor UKM Prof Datuk Ir Dr Mohd Marzuki. -Bernama