SHAH ALAM – PKR menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pihak pembangkang akan menimbulkan kekecohan ganas sekiranya kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai tidak berasas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan Dr Mahathir seharusnya dilihat secara terbalik, dan mendakwa pihak Umno-Barisan Nasional (BN) yang akan mencetuskan keganasan.

“Jika kita lihat sejarah Dr Mahathir, selalunya kenyataan beliau memberi maksud yang lain. Kita perlu melihat secara tersirat. Beliau sukakan perkara paradoks.

“Jika Umno-BN tewas pada PRU13, maka merekalah yang mencetuskan keganasan. Oleh itu saya melihat kenyataan Dr Mahathir sebagai kenyataan pihak yang berada di hujung nyawa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam, Dr Mahathir berkata pihak pembangkang akan melancarkan demonstrasi ganas secara berterusan sekiranya mereka tewas pada PRU13 nanti.

Menurutnya, demonstrasi ganas itu juga sebagai satu cara untuk menunjukkan kepada negara luar bahawa rakyat negara ini menolak keputusan pilihan raya yang kononnya telah dimanipulasi oleh kerajaan BN.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula mendakwa Dr Mahathir berkhayal dan kenyataannya itu adalah salah satu manifesto kerajaan Umno- BN dalam pilihan raya umum akan datang bagi menimbulkan tanggapan negatif terhadap parti Pakatan Rakyat (PR).

"Saya merasakan Mahathir dihantui oleh keganasan demontrasi yang berlaku seperti di negara Arab dan nasihatkan supaya tidak terlalu berfikir negatif kepada demonstrasi yang dilakukan di Malaysia.

"Kita berhimpun menggunakan cara yang sah dan ikut undang-undang dan sama sekali tidak ada niat untuk cetuskan hura-hara pada Bersih 3.0 lalu," katanya.

Salahuddin turut berkata, setelah 12 kali PRU diadakan tetapi parti PR tidak pernah lakukan perkara yang menyalahi perlembagaan dan mereka rela kalah pada sitem pilihan raya walupun tidak berpuas hati dengan PRU 13 akan datang.

“Bayangkan kalau memang kami berniat untuk bertindak ganas pada hari itu, Kuala Lumpur akan menerima kesan yang dasyat dan saya bimbang kalau BN yang akan berkelakuan ganas seperti yang terjadi pada ceramah semalam (malam kelmarin)," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar memohon maaf kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah seandainya ucapannya tempoh hari menyinggung pihak istana.
  • SHAH ALAM - Isteri kepada bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendedahkan suaminya, Tun Dr Mahatir Mohamad begitu sayang malah turut terhutang budi dengan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
  • SHAH ALAM - Tular gambar yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama pimpinan tertinggi lain yang menghadap Yang di Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebenarnya bukan tujuan untuk pembubaran Parlimen.
  • SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan menyesuaikan latihan dan penguasaan ilmu dengan peluang pekerjaan menyebabkan ada graduan terpaksa menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber.
  • SHAH ALAM - Punca mengapa masih ada 50 peratus rakyat Malaysia yang bergaji di bawah RM1,703 adalah kerana pengaruh pekerja asing.