KUALA LUMPUR - Jaguh tinju dunia dari Filipina, Manny Pacquiao mengambil kesempatan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena lawatannya ke Malaysia, hari ini.

Pacquiao berada di Malaysia kerana dijadual menentang juara welterweight dunia, Lucas Matthysse di Kuala Lumpur, Ahad ini.

Kunjungan ikon Filipina itu dikongsi dalam laman sosial Facebook rasmi Dr Mahathir, hari ini.

Bulan lepas, Pacquiao, 39, menyatakan pertarungan menentang Matthysse akan berlangsung pada 24 Jun lepas namun ia ditunda kepada 14 Julai.

"Ini pertarungan sengit kerana Matthysse juga pakar pukulan KO tapi saya teruja bertarung dan mahu kembali menjadi juara dunia.

"Saya bukan pilihan dalam pertarungan itu nanti tetapi saya sudah biasa dengan keadaan seperti itu. Ia membangkitkan motivasi saya untuk berlatih dan bertarung untuk merebut gelaran itu semula," katanya

Matthysse, petinju dari Argentina itu bukan lawan mudah kerana beliau menewaskan jaguh dari Thailand, Teerachai Sithmorseng Januari lalu untuk meraih gelaran juara dunia.

Beliau sudah mencatat 39 kemenangan dalam kariernya termasuk 36 kemenangan menerusi pukulan KO dan pastinya pertembungan dua jaguh ini bakal berlangsung sengit.