SHAH ALAM - Kebimbangan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad terhadap orang Melayu sewajarnya diambil perhatian secara serius oleh orang Melayu.

Setiausaha Agung Majlis Perundangan Melayu (MPM), Prof Datuk Dr Hasan Mad berkata, masa depan Bumiputera itu sebenarnya telah diperkatakan dalam Kongres Masa Depan Bumiputera pada 1 September 2018 di Pusat Persidangan KLCC namun teguran yang dilemparkan semalam bukan tujuan untuk memperlekehkah Bumiputera.

Menurutnya, beliau percaya kritikan itu adalah cabaran Dr Mahathir kepada orang Melayu demi menjaga reputasi dan martabat orang Melayu.

"Sebenarnya MPM menyokong kenyataan itu dan tidak kisah dengan rasa tidak puas hati segelintir pihak kerana ia adalah persepsi terbuka orang lain melihat isu ini.

"Kecualilah kita sendiri melihat realiti perkara ini dan memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan jamin tak aniaya bumiputera]

Hasan berkata, apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir mempunyai kebenaran termasuklah isu daya saing yang sebenarnya berkait rapat dengan isu peranan keibubapaan di mana melibatkan generasi muda yang berkahwin mengambil sikap smabil lewa terhadap pendidikan anak-anak.

Katanya, kebanyakan ibu bapa tidak memberi fokus kepada peranan keibubapaan yang terbaik sehingga berlakukanya pelbagai aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja.

"Nilai-nilai tidak sihat itulah yang kini ditegur oleh Dr Mahathir apabila beliau sendiri melihat tiada perubahan berlaku.

"Realiti itu berlaku dan kerana sebab itu dia memberi teguran untuk orang Melayu sahut. Jadi terpulang pada kita untuk menilai dan melihat dari sudut positif atau sebaliknya," katanya.

Selain itu, beliau berharap masyarakat Melayu tidak mengaitkan kritikan itu sebagai isu  politik tetapi mengambil cabaran yang diberikan dengan bermuhasabah diri.

Jelasnya lagi, Dr Mahathir antara insan yang konsisten apabila bercakap dan melihat perkembangan yang berlaku, jika tiada perubahan beliau akan ulangi perkara yang sama.

"Bagi MPM pula, kita juga konsisten melihat semua kepentingan termasuklah agenda Melayu, agenda Islam, Institusi Melayu dan Institusi Islam dan apa sahaja kebimbangan yang disuarakan untuk kepentingan Melayu," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Orang Melayu tak tahu malu']

Semalam, Dr Mahathir memberi kenyataan orang Melayu tidak berasa malu apabila bangsa lain melabel mereka tidak beramanah malah tidak mempedulikan penghinaan sedemikian.

Pengerusi Bersatu itu berkata, orang Melayu malu kalau dilihat bogel tetapi tidak pula berasa begitu apabila gagal melaksanakan tugas.

Menurutnya, apabila rungutan mengatakan kualiti kerja mereka tidak sebaik bangsa lain, ada orang Melayu tanpa segan silu berkata ‘itu bangsa lain’.