AMPANG - Seorang nenek kepada 15 cucu ditahan bersama seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, di sini dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Dalam pemeriksaan jam 1 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 63 tahun itu bersama teman lelakinya warga Bangladesh berusia 41 tahun ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, serbuan ke atas rumah terbabit dilakukan hasil maklumat orang ramai.

“Penguat kuasa agama mengetuk pintu bilik rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, wanita yang mempunyai lima anak itu memberi alasan kononnya dia menumpang membasuh baju di rumah sewa lelaki terbabit kerana rumah cucunya mengalami masalah bekalan air.

“Kami mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. Difahamkan mereka saling mengenali sejak tujuh bulan lalu.

“Lelaki yang sudah berkahwin itu merupakan pekerja di sebuah restoran di ibu kota,” katanya.

Dalam operasi berasingan, sepasang kekasih dicekup di sebuah pangsapuri di sini pada jam 1.50 pagi, semalam.

Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa selepas dipercayai pasangan itu berasmara dalam bilik sewa milik lelaki berkenaan.

“Perempuan itu memberi alasan berjumpa dengan teman lelakinya untuk mengadu berhubung masalah tempat kerjanya.

“Ketika serbuan perempuan itu berpakaian lengkap, manakala pasangannya hanya berseluar pendek,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah untuk membuat laporan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AMPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadap menziarahi Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang baharu menjalani pembedahan kecil di sebuah hospital swasta di ibu negara.
  • AMPANG - “Bila baca berita pemenang-pemenang, macam-macam cerita, rezeki anak dan sebagainya, saya terpanggil nak hantar penyertaan untuk dapat peluang menang. Alhamdulillah, berbaloi mencuba. Rezeki nak raya.''
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.