SHAH ALAM - Ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 yang dibawakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, seseorang yang beriman wajib baginya memartabatkan perundangan Islam seupaya mungkin, termasuk melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah dan taqnin (kodifikasi atau penggubalan undang-undang) yang diperlukan.

“Kepada YB sekalian yang beragama Islam, salah satu daripada cara yang unggul memartabatkan keadilan Islam ialah dengan mewujudkan sistem mahkamah dan bidang kuasanya melalui akta yang berkaitan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaaan disaran sokong RUU 355]

“Dengan RUU pindaan Akta 355 makanya maslahat umat Islam akan terjamin dan dihormati,” katanya melalui siri Bayan Linnas: Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat, semalam.

Bacaan kedua bagi RUU Persendirian itu dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas Abdul Hadi berjaya membawanya untuk bacaan pertama, Mei lalu.

Dalam kenyataan sama, Zulkifli menyatakan ahli parlimen bukan Islam pula perlu menyokong pindaan tersebut.

“Pindaan ini sama sekali tidak terpakai kepada golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan bahawa ia hanya melibatkan orang Islam sahaja. Akta itu sudah sedia ada wujud dan hanya akan dipinda dan diberi penambahbaikan.

“Ia bukan satu usaha jalan belakang ke arah perlaksanaan hudud kerana pemerkasaan sistem kehakiman Islam secara menyeluruh adalah yang sangat diperlukan oleh umat Islam dan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat, mana-mana pihak menentang perkara kebaikan bukan daripada fitrahnya yang baik tetapi nafsu yang cuba menafikan akan hakikat kebenaran.

Justeru itu katanya, apabila ada pihak yang membina kebaikan, semua pihak perlulah menyatakan sokongan.

“Kami menyeru agar ahli parlimen menyokong RUU pindaan Akta 355 kerana ia dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Kami juga menyeru agar ahli parlimen sekalian menyokong pindaan ini untuk menunjukkan tanggungjawab seorang ahli parlimen yang juga mewakili keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.

Tambahnya, “sekali lagi kami tegaskan bahawa melihat kepada maslahat untuk membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing adalah menjadi tuntutan utama kepada kita semua menyokong pindaan Akta 355.”

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syar’ie.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.