• mtuc logo Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
1 /

[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mengadakan mesyuarat khas majlis am memutuskan untuk menggugurkan Abdul Halim Mansor sebagai setiausaha agung badan induk kesatuan sekerja itu berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu diambil selaras dengan peruntukan Seksyen 10(5) Perlembagaan MTUC di mana setiausaha agung boleh ditamatkan perkhidmatan meskipun dipilih pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali atas alasan gagal menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan memuaskan.

Ini kali pertama seorang setiausaha agung ditamatkan tempoh perkhidmatan di bawah peruntukan tersebut.

Pemegang jawatan itu boleh dilucutkan jawatan selepas dua tahun jika majlis am merasakan tugas dan tanggungjawab setiausaha agung tidak memuaskan.

"Keputusan hari ini, majlis am memutuskan Halim bukan lagi setiausaha agung dan seorang setiausaha agung yang baru akan dipilih oleh majlis am, memangku jawatan itu, sehingga persidangan perwakilan tiga tahun sekali diadakan," kata seorang pegawai kanan MTUC kepada Sinar Harian Online.

Usaha mendapatkan kenyataan Halim dan Presiden MTUC, Khalid Atan masih belum berhasil.

Majlis am dijadual berlangsung dalam tempoh dua hingga empat minggu ini bagi menentukan setiausaha agung baru. Timbalan Setiausaha Agung, Samuel Devadasan akan memangku jawatan setiausaha agung sehingga pengganti dipilih.

Usul untuk menggugurkan Halim diluluskan 42 menyokong dan 24 menentang. Mesyuarat majlis am berlangsung hampir tiga jam sejak 10 pagi tadi.

Ini kali ketiga usaha menggugurkan Halim dibawa.

Pada tahun 2011 dan 2012, beberapa kesatuan gabungan telah membawa usul undi tidak percaya ke atas presiden dan setiausaha agung MTUC berhubung kontroversi pindaan Akta Kerja, yang diluluskan Parlimen akhir 2011.

Khalid Atan dan Halim masing-masing menang pemilihan MTUC Disember 2010.

Dalam satu temu bual bersama Sinar Harian Online bulan lepas, Halim menafikan dakwaan beliau gagal dalam tanggungjawabnya dan akan bertanding semula pada pemilihan tahun ini.

Beberapa kesatuan gabungan sebelum ini mendakwa seolah-olah MTUC tidak lagi memainkan peranan yang diharapkan dan sudah tidak dihormati oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan.

MTUC memprotes Akta Kerja khususnya peruntukan yang berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Dalam pada itu, Pengerusi MTUC Selangor, N. Gopal Krishnam ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa menggunakan Seksyen 10(5) sebagai usaha terakhir untuk menggugurkan Halim daripada jawatannya selepas tidak berpuas hati dengan prestasi beliau sepanjang dua tahun lalu.

"Isu gaji minimum dan umur persaraan sektor swasta adalah antara perkara yang membawa kepada tindakan ini.

"Selepas usaha memperbaiki keadaan tidak berhasil, kami menggunakan Seksyen 10(5)... pada ingatan saya, ini kali pertama seorang setiausaha agung digugurkan selepas dua tahun berkhidmat, berdasarkan peruntukan ini," katanya.

Beliau yang membawa usul ini pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif bulan lalu berkata, "kami mahu MTUC komited memperjuangkan kepentingan pekerja... itu yang kami harapkan."

"Jadi pemimpin-pemimpin juga perlu komited," kata beliau yang yakin MTUC tidak akan terjejas atau berpecah dengan perkembangan hari ini.


AKAN MENYUSUL