KUALA LUMPUR - Malaysian Press Institute (MPI) mempelawa para wartawan Sarawak dan Sabah untuk menyertai Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2017 yang penyertaannya kini dibuka.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, surat pelawaan telah dihantar kepada para editor media utama di kedua-dua negeri itu minggu lepas.

"Bersama surat tersebut turut dikirim termasuk buku-buku kewartawanan terbitan MPI iaitu 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai; Terbilang, Potret Tokoh Wartawan Negara dan Perjalananan Lima Dekad MPI.

Buku-buku itu berguna untuk dijadikan panduan oleh wartawan menghasilkan karya bermutu tinggi yang melayakkan mereka memenangi anugerah," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan MPI, Norlida Jamain berkata, rayuan khas kepada pengamal media Sarawak dan Sabah untuk menyertai HKM dibuat kerana pihak MPI ingin melihat penyertaan lebih tinggi daripada kedua negeri itu.

“HKM adalah sebuah anugerah nasional, justeru MPI tidak mahu dari segi penyertaan ia hanya didominasi oleh para wartawan yang berkhidmat dengan media yang berpangkalan di Semenanjung seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

“Dan untuk memastikan wartawan Sarawak dan Sabah tidak tercicir lagi maka MPI membuat promosi khas bagi HKM 2017,” katanya.

Norlida berharap media Sarawak dan Sabah akan menyahut pelawaan tersebut dan menghantar penyertaan masing-masing bagi 20 kategori yang dipertandingkan sebelum tarikh tutup HKM pada 16 Januari 2018.

Secara keseluruhannya, HKM yang diinstitusikan pada 1980 untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia, menawarkan hadiah bernilai RM300,000, tajaan Petronas.

Menurut Norlida antara wartawan Sabah dan Sarawak yang pernah memenangi HKM adalah James Sarda, editor Daily Express, Sabah; Lailah Elok (Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Sabah) dan Phyllis Wong (Utusan Borneo, Kuching).