KUALA LUMPUR - Ketua  Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull hari ini membuktikan yang integriti seseorang itu tidak boleh dijual beli.

Dalam sidang media pertamanya sebaik memulakan tugas hari ini, Mohd Shukri membuat pendedahan berhubung penyiasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang nyata menggemparkan negara.   

Cabaran yang dilalui oleh anak jati Kedah itu dalam mengendalikan penyiasatan kes berkenaan bukan  kepalang apabila beliau mendakwa hampir mati selain diugut untuk dipecat, bersara awal, dipindahkan ke unit lain iaitu bahagian latihan serta menerima ugutan peluru yang dihantar ke rumahnya.

Mohd Shukri yang memulakan perkhidmatan bersama SPRM (ketika itu dikenali sebagai Badan  Pencegah Rasuah) pada 1984 kini  kembali ke SPRM selepas dipanggil oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memikul tanggungjawab sebagai ‘orang nombor satu’ suruhanjaya itu.  

Demi mengembalikan wang rakyat dan bagi melunaskan tugas beliau yang belum selesai  berhubung  penyiasatan kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, ​​​​​​Mohd Shukri nekad kembali ke badan  berkenaan  bagi membuktikan penyelewengan dalam kes itu adalah benar.  

Beliau turut menekankan kes 1MDB bukan cerita rekaan tetapi adalah satu kes besar  sepanjang  mengendalikannya.

Ini hasil penyiasatan SPRM pada 2015 berhubung isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan perdana menteri.

SRC International merupakan sebuah daripada anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012.

Meskipun diasak dan menerima tekanan daripada pelbagai pihak, usaha beliau untuk mendedahkan kes ini diteruskan menerusi perjumpaan dengan beberapa menteri bagi meyakinkan mereka bahawa isu dana RM42 juta dan RM2.6 bilion adalah kes yang benar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Shukri terpaksa lari selamatkan diri ke luar negara]

Malangnya hanya tiga menteri ketika itu yang berani bersuara mengenainya iaitu bekas Timbalan  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Malah, Mohd Shukri mendakwa beliau didatangi seorang anggota parlimen  dari utara yang mengganggu penyiasatan 1MDB serta mengajak beliau untuk berunding berhubung perkara itu.

Mohd Shukri dilaporkan sebagai individu yang melengkapkan dua kertas siasatan berkaitan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Ketika itu  beliau merupakan timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM sebelum bersara awal pada Julai 2016.

Mohd Shukri dilantik  sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada Isnin minggu lepas oleh  perdana menteri bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan dan kembali ke Pejabat Peguam Negara.

Sepanjang 32 tahun bersama badan berkenaan Mohd Shukri pernah menderita penyakit misteri, diperangkap dengan dadah dan turut difitnah – demikian cerita Mohd Shukri sendiri pada hari terakhir beliau bertugas di SPRM hampir dua tahun lalu.

Pada majlis Paluan Berundur, Mohd Shukri menasihati anak buahnya agar membuat kerja dengan betul tanpa rasa takut dan gentar kerana SPRM bukanlah tempat untuk pegawai yang kecut perut, penakut dan mudah gentar.

Bersandarkan integriti yang dipegang dan diperjuangkan oleh Mohd Shukri itu membolehkan beliau berada di SPRM hari ini untuk mendedahkan pahit-maung perjuangan beliau dan rakan-rakannya dalam usaha menyelamatkan negara tercinta ini. - Bernama