AUTA

SATU mesej tersebar di media sosial menggesa mangsa banjir supaya mendaftar di pusat pemindahan banjir bagi memastikan mereka mendapatkan wang ganti rugi daripada kerajaan.

Menurut mesej itu, jika nama mangsa dan keluarga yang terjejas banjir tidak didaftarkan dalam rekod Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa tidak akan menerima wang ganti rugi dan sebagainya.

"Sebab nanti bantuan sampai berpandukan nama-nama yang ada. Tolong ingatkan keluarga masing masing," menurut mesej itu.


FAKTA

SHAH ALAM  - Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab melahirkan kekesalan terhadap penyebaran maklumat tidak tepat itu.

Menurutnya, MKN tidak memberikan sebarang ganti rugi sebaliknya akan memberikan wang ihsan untuk meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan tempat tinggal.

Beliau berkata, sebelum ini, MKN telah mengarahkan pusat pemindahan mendaftarkan nama mangsa banjir bagi tujuan untuk merekodkan jumlah serta memudahkan sebarang urusan kelak.

“Kita bersama beberapa agensi lain berusaha menyenaraikan semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan. Kita juga meminta mangsa banjir yang tidak berada di pusat pemindahan seperti rumah adik-beradik atau saudara untuk mendaftarkan nama sebagai
mangsa banjir di pusat pemindahan.

“Memang kita akan berikan wang ihsan untuk mereka (mangsa banjir) memulakan kehidupan kembali tetapi bukan wang ganti rugi seperti yang diberitahu melalui mesej yang tersebar, ini boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan bekalan makanan serta keperluan lain kepada mangsa banjir sewaktu mereka pulang ke rumah.

“Kebanyakan mangsa banjir telah pulang ke rumah dan pastinya mereka tidak mempunyai bekalan makanan di rumah.

“Jadi kita mengambil inisiatif memberikan wang ihsan dan keperluan berbentuk makanan serta keperluan lain bagi meringankan beban mereka untuk memulakan kehidupan baharu,” katanya.