SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengucapkan tahniah kepada Pas, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bertegas menuntut tindakan ke atas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang dikaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau yang lebih dikenali denagn panggilan Dr Maza mendakwa, Individu seperti Ramasamy dianggap berbahaya kepada kesejahteraan kaum dan agama dalam negara ini.

"Bahkan, organisasi LTTE itu telah diisytiharkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak antarabangsa sebagai kumpulan pengganas. Ia amat berbehaya kepada keselamatan setiap rakyat Malaysia terutama yang berbeza dan mengkritik mereka.

"Inilah yang kita lihat dari keganasan mereka seperti mana mereka telah membunuh Rajiv Gandhi melalui pengebom berani mati. Semoga ALLAH merahmati Pas, NGO-NGO dan semua individu yang bangkit dengan tegas dalam isu ini. Ya ALLAH, selamatkanlah negara kami," katanya dalam catatan di Facebook miliknya, hari ini.

Sebelum ini Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan melahirkan kebimbangan apabila Ramasamy dikatakan terlibat dengan kumpulan pemisah LTTE.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ramasamy perlu disiasat]

Manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya menerima 53 laporan berhubung isu Ramasamy yang sebelum ini berkongsi gambar bersama anggota LTTE iaitu Vaiko atau V Gopalasamy.

Menurutnya, laporan itu diterima pihaknya dari seluruh negara termasuk laporan yang dibuat Ramasamy sendiri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ramasamy, Vaiko: Polis terima 53 laporan]