KUALA LUMPUR - Pengamal media tempatan dijanjikan kebebasan dalam menghasilkan sebarang laporan atau artikel kerana kerajaan hari ini mengamalkan prinsip demokrasi matang.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan hari ini lebih bersahaja dan bersedia untuk mengguna dan menerima ungkapan-ungkapan baharu yang membawa maksud kepada politik dan demokrasi matang.

Menurutnya, perkara sama tidak berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Seandainya dalam berita yang ditulis atau dilaporkan, tak usah risau daripada menerima panggilan daripada Pejabat Perdana Menteri atau menteri-menteri lain kerana bahasa anda nampaknya lebih lunak dari segi amalan demokrasi politik baharu.

“Saya harap selepas ini tidak lagi ada insiden editor dipanggil hanya kerana gamba seseorang tidak begitu manis senyumnya dipaparkan,” katanya ketika berucap di Majlis Malam Wartawan Malaysia 2018 (MWM2018), malam ini.

Turut hadir, Pengerusi MWM2018, Datuk Dr. Chamil Wariya, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Tan Sri Rais Yatim.

Sementara itu, anugerah paling berprestij di dalam dunia kewartawanan, Anugerah Kajai menjadi milik tujuh wartawan The Star iaitu, Samantha Chow, Ian Yee, Elroi Yee, Shanjeev Reddy, Lim May Lee, Hansel Khoo dan Satpal Kaler dengan tajuk artikel The Student Trafficking Trade.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi serta sijil penghargaan.

Bagi kategori Wartawan Muda A. Samad Ismail di menangi oleh Mohd Zulkifli Zainuddin dari Berita Harian dan Tunku Nashrul Tuanku Abaidah dari TV9 dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil serta trofi.

Manakala wakil Sinar Harian, Zainudin Haron dan Hilmie Aris dalam menang hadiah sagu hati wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan dalam kategori Desain Halaman Pertama Terbaik.

Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima 349 penyertaan daripada organisasi media tempatan bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2016 (HKM 2017).