KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bertegas mengharamkan kesenian makyung dan tidak berhasrat untuk menarik balik pengharamannya biarpun digesa untuk menghentikan sekatan terhadap persembahannya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ketetapan mengharamkan kebudayaan tradisional itu telah dilakukan sejak zaman pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi dan ia masih diteruskan sehingga hari ini.

“Kita tetap mengharamkan makyung sebab ini adalah isu berkaitan dengan agama. Mana-mana kesenian yang kita haramkan selama ini pun kita tidak berhasrat untuk tarik balik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas gesaan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Kelantan menamatkan pengharaman terhadap persembahan kesenian tertua itu, termasuk sekatan terhadap seni lain.

Mengulas lanjut gesaan itu, Mohd Amar meminta semua pihak menghormati pendirian pentadbiran Kelantan, Membangun Bersama Islam, dan semestinya telah mengambil kira secara menyeluruh dalam sesuatu perkara sebelum dikuatkuasakan.

“Tolong hormati kita. Kita tidak menghalang persembahan ini diadakan, tetapi bukan di Kelantan. Kalau sesiapa nak anjurkan tarian ini di tempat lain dipersilakan, mereka boleh buat,” katanya.

Laporan PBB juga menyebut, persembahan makyung yang kaya dengan tradisinya itu perlu dihargai dan rakyat harus menikmati persembahannya.

Menjelaskan perkara itu, Mohd Amar berkata, rakyat sudah memahami garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Pas Kelantan setelah sejak sekian lama mengemudi negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Katanya, terdapat pelbagai keunikan lain boleh dinikmati di Kelantan seperti keindahan alam sekitar, keaslian budayanya dan juga keistimewaan masyarakat yang tidak bertentangan dengan agama Islam boleh diraikan.

Persembahan tradisional itu dilarang dipertontonkan di negeri ini kerana ia mengandungi unsur-unsur khurafat mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan tahun 1998.

Makyung adalah salah satu persembahan seni tradisi tertua Kelantan dan diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.