SHAH ALAM - Tindakan kerajaan memansuhkan saman AES hanyalah untuk menutupi janji manifesto yang gagal dilaksanakan kerajaan PH.

Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, langkah tersebut dilihat sebagai satu pendekatan yang mudah semata-mata untuk menyedapkan hati rakyat.

“Ini merupakan pada saya satu pendekatan yang mudah kerana kerajaan hari ini tidak menunaikan janji-janji yang besar-besar antaranya tidak dapat menurunkan harga minyak, harga barangan dan tol juga tidak dapat hapuskan.

“Jadi paling tidak, tindakan ini paling kurang pun untuk sedapkan hati rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan kerajaan BN sebelum ini dikatakan mengaut keuntungan daripada kutipan saman AES tersebut.

“AES ini dilaksanakan sebenarnya untuk mendisiplinkan rakyat supaya lebih berhemah di atas jalan raya dan paling penting tujuannya untuk mengurangkan kadar kemalangan.

“Apabila saman AES ini dibatalkan, ia sekali gus menjadikan pengguna jalan raya tidak serik dengan kesalahan yang dilakukan. Jadi tidak timbul soal kerajaan BN kaut keuntungan seperti dakwaan tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, mana-mana individu yang melanggar undang-undang akan dikenakan denda dan ia turut berlaku di seluruh dunia.