BAGAN DATUK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu golongan celik dan hafiz al-Quran dibentuk menjadi pemimpin dan tenaga kerja profesional negara seperti doktor dan jurutera, bukan hanya menjadi imam atau guru agama semata-mata.

Katanya, ketika ini negara mempunyai 200 doktor perubatan Islam daripada kalangan hafiz dan hafizah.

"Saya harap selepas ini kita mempunyai peguam, arkitek, jurutera daripada kalangan huffaz.

"Ini adalah penting bagi Malaysia melahirkan generasi yang mampu membangunkan negara yang sejahtera, aman dan harmoni, seterusnya mendapat keberkatan serta pengampunan daripada ALLAH," katanya semasa berucap pada majlis tahlil dan berbuka puasa di Sekolah Menengah Agama Al Ulum Alsyar'iyyah Bagan Datuk, di sini petang ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 125,000 huffaz di seluruh negara menjelang 2050 melalui dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Pada majli itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada sekolah menengah agama tersebut bagi tujuan membeli van untuk pelajarnya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Penggunaan ‘magic song’ yang digunakan semasa pembelajaran mengaji al-Quran bagi Teknik Cordobana banyak membantu peserta mudah mengingati formula, di samping cepat membaca al-Quran.
  • SABAK BERNAM - Sekolah Agama Menengah (Sam) Bagan Terap melakar sejarah apabila seramai 30 pelajarnya membaca al-Quran tanpa henti selama hampir 24 jam.