SERAMAI 80 orang melibatkan diri dalam program Pemanduan Selamat dan Klinik CubPrix yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Program tersebut merupakan kerjasama bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Selangor (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor.

Bekas pelumba MotoGP, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, program tersebut bertujuan mendidik peserta dengan kaedah pemanduan dan penunggang selamat.

"Objektif utama penganjuran klinik perlumbaan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya remaja tentang landasan yang betul jika berminat dalam bidang perlumbaan.

"Mereka juga didedahkan mengenai cara untuk menyalurkan minat terhadap perlumbaan dengan betul kerana ramai di antara mereka yang belum tahu jalan betul untuk berlumba.

"Sebab itulah masih ramai remaja kita terjerumus ke arah kegiatan tidak sihat. Jadi kami datang untuk membantu mereka sekali gus mengekang kegiatan mat rempit," katanya ketika ditemui selepas memberi ceramah kepada peserta.

Shahrol yang juga pengurus pasukan Pachie Yuzy Honda Racing berharap program ini akan dimanfaatkan remaja kerana ia memberi informasi terperinci tentang sukan lumba motor.

"Saya tahu, ramai anak muda yang suka berlumba. Ia tidak salah, namun pilihlah saluran yang sah.

“Perlumbaan haram bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya yang lain,” katanya yang turut aktif menyampaikan ceramah menunggang motosikal dengan selamat di sekolah-sekolah seluruh negara.