SEREMBAN - Pengguna Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) boleh menikmati perjalanan lebih selesa apabila keseluruhan laluan sepanjang 44.3 kilometer diterangi cahaya lampu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sistem pencahayaan di lebuh raya berkenaan kini lengkap melalui pemasangan lampu bernilai RM16 juta di sepanjang laluan 25 kilometer.

"Pemasangan mengambil masa lapan bulan bermula sejak 1 April tahun lepas melibatkan 549 batang tiang dan menggunakan lampu LED yang jimat tenaga serta mesra alam.

"Pada masa sama, keseluruhan lampu sedia ada di kawasan plaza tol dan persimpangan bertingkat akan ditukar kepada LED secara berperingkat," katanya.

Menurutnya, syarikat konsesi Lebuhraya Lekas turut membelanjakan tambahan RM1 juta bagi menukar lampu jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) kepada LED di bangunan dan lampu limpah di Plaza Tol Setul dan laluan utama Setul, di sini.

"Menerusi langkah penambahbaikan ini, Lekas mampu menjadi salah satu laluan selesa dan selamat kepada pengguna lebuh raya," katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Perasmian Penyempurnaan Lampu Jalan Lekas di Plaza Tol Setul, di sini, sebentar tadi.

Perasmian itu disempurnakan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM Berhad, Datuk Soam Heng Choon memberitahu, pihaknya akan memberi 'ang pow' berbentuk pemberian kad Touch n Go dan diskaun di lebuh raya kendalian mereka.

"Sebanyak 2,000 kad bakal diedarkan di semua plaza tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya)  dan 2,000 lagi di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) pada 8 Februari ini mulai jam 10 pagi sehingga habis stok.

"Bagi Lebuhraya Lekas pula, diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan khusus buat kenderaan Kelas 1 di Plaza Tol Ampangan pada tarikh yang sama dari jam 12.01 pagi hingga 12 tengah malam," katanya.