KUALA BESUT - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek meminta peniaga membuat laporan sekiranya terdapat orang tengah memanipulasi harga ayam untuk diambil tindakan.

Beliau berkata peniaga juga perlu memainkan peranan termasuk menasihati orang tengah agar jangan mengambil keuntungan melampau terutama pada bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan.

"Kalau dah beli dengan harga tinggi, peniaga juga yang terpaksa jual lebih tinggi dan mereka sedikit sebanyak menanggung risiko kalau barang tidak habis," katanya sambil mengingatkan peniaga supaya tidak turut mengambil kesempatan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan tinjauan harga barang basah bersama pegawai kementerian itu di Pasar Borong Kuala Besut di Kampung Lampu di sini hari ini.

"Pemantauan akan terus dijalankan dan sekiranya ada peniaga menaikkan harga secara melampau, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Hasan berkata pengguna juga perlu lebih arif untuk membuat pilihan sama ada perlu membeli sesuatu barangan tersebut atau tidak.

Mengenai tinjauannya di pasar itu, Menteri itu berkata kementerian tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan melampau harga barangan di kawasan ini buat masa ini sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan peniaga-peniaga di sini kerana didapati tidak menaikkan harga barangan terutamanya harga ayam sewenang-wenangnya berbanding di kawasan-kawasan bandar.

"Kenapa tempat lain tidak boleh buat begitu seperti di sini? Mungkin peniaga di bandar akan cakap kerana orang tengah jual mahal. Kalau betul ada orang tengah yang memanipulasikan harga, peniaga ayam kena lapor dan kita akan ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi pasar di Kuala Besut mendapati harga ayam bulat dijual sekitar RM7 hingga RM7.50 sekilogram, berbanding harga siling semasa RM6.80. 

Namun ia masih dianggap berpatutan berbanding harga di kawasan bandar-bandar utama yang jauh lebih mahal dengan alasan kos pengangkutan dan barang mentah sukar didapati.

Peniaga ayam, Ghazali Wan Ibrahim, 45, berkata beliau menjual ayam pada harga RM7 sekilogram dan kebanyakan pelanggannya memahami.

"Saya terpaksa jual lebih sedikit sebab ayam hidup datangnya mahal, itupun saya hanya mengambil untung yang sedikit asalkan pelanggan saya tetap ada.

"Saya ambil ayam ini secara terus dari Perak dan saya sendiri sembelih, proses sebelum dijual," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Perkembangan mengenai Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek yang dikatakan bakal membintangi sebuah filem berjudul This Is Pilah telah mendapat perhatian para netizen di media sosial sejak kebelakangan ini.
  • KUALA PILAH - Jabatan Pertanian Negeri Sembilan melarang tumbuhan dan benih yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil iaitu guarana (paullinia cupana; keluarga: sapindaceae) dibawa masuk ke dalam negeri ini oleh pengusaha luar mahupun tempatan.
  • KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam menjelang sambutan Hari Raya ini.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mencari kaedah baharu bagi memastikan pengguna tidak mudah dimanipulasi pemborong dan pembekal ayam yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam setiap kali musim perayaan.
  • KUALA LUMPUR - Bekas menteri persekutuan, Tan Sri Bernard Dompok antara tujuh yang menerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan Malaysia ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.