KUALA LUMPUR -  Kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah  dalam kalangan negara-negara Asean mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia hasil daripada pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam  mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.

Kaji selidik oleh  Economist Intelligence Unit itu membandingkan harga barang dan perkhidmatan di 133 bandar raya seluruh dunia.

"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa pengiktirafan tersebut tidak bermakna usaha kita meringankan bebanan kos sara hidup sudah selesai, " katanya menerusi catatan blog najibrazak.com bertajuk Ucapan Perdana Menteri Mengenai Taraf Hidup Rakyat.

Beliau berkata, isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha membawa Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

"Banyak usaha yang telah kita lakukan bagi memastikan rakyat kurang dibebani kos sara hidup. Antaranya, kawalan harga oleh pihak berkuasa, pembahagian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), usaha perangi orang tengah dan sebagainya," katanya.

Perdana menteri berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan melaksanakan pelbagai program latihan dan pendidikan menerusi Tekun Nasional, Tranformasi Kedai Runcit (Tukar), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Skim Permulaan Ekonomi Bumiputera (Superb), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dana Usahawan Muda, e-Reseki dan Dana Mudahcara.

Dari segi pengawalan kos pula, Najib berkata, kerajaan akan meneruskan program seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia), Klinik 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia.

"Saya benar-benar mengharap program-program ini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat kerana perkara inilah yang saya usahakan pada setiap hari sebagai perdana menteri," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup pada 2014, dilihat masih kurang memberikan apa-apa impak positif kepada rakyat.
  • SHAH ALAM - Pas berpendapat topik kos sara hidup merupakan isu 'panas', khususnya apabila ia sangat membebankan kehidupan rakyat sehinggakan pendapatan tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan hidup seharian.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan ‘Social Impact Exchange’ (SIX) pembayaran berasaskan impak untuk memperkukuhkan lagi budaya inovasi di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan nama yang paling mencerminkan Bajet 2018 yang dibentangnya pada 27 Oktober lepas, adalah “Bajet Inklusif dan Menyeluruh”.
  • KUALA LUMPUR - Malaysia tetap berpegang dengan pendirian membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.