PUTRAJAYA - Kos rawatan Hepatitis C di negara ini akan lebih berpatutan tidak lama lagi iaitu hingga serendah RM500, dan ini menjadikannya lebih mudah diperoleh pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, hari ini, Kabinet telah meluluskan penggunaan Hak Kerajaan di bawah Akta 1983 (Akta 291) dengan memanfaatkan penciptaan tablet Sofosbuvir 400mg yang dipatenkan, di mana kos rawatan akan menjadi lebih rendah dan dengan itu lebih banyak pesakit akan dapat dirawat.

Katanya, sekarang, kos bagi rawatan Hepatitis C ialah kira-kira RM50,000 dan ini menyebabkannya kurang dapat diakses oleh pesakit.

"Oleh kerana Hepatitis C kini menjadi masalah kesihatan utama dalam kalangan orang ramai di Malaysia, maka adalah penting akses kepada rawatannya ditingkatkan untuk kebaikan negara,” kata beliau kepada  pemberita di Kementerian Kesihatan di sini.

Dr Subramaniam berkata, keputusan melaksanakan Hak Kerajaan itu dibuat setelah usaha Kementerian  Kesihatan untuk memasukkannya ke dalam ‘Medicine Patent  Pool (Himpunan Paten Ubat) (MPP) dan rundingan harga dengan pemegang paten, tidak berhasil.

Kata beliau, pemerolehan tablet Sofosbuvir 400mg akan sejajar dengan prosedur pemerolehan semasa kerajaan.

Beliau berkata, pelaksanaan Hak Kerajaan terhadap tablet Sofosbuvir 400mg hanya melibatkan  kemudahan kerajaan iaitu hospital Kementerian Kesihatan dan hospital Angkatan Tentera.

Pada fasa permulaan, ia akan hanya ditawarkan di 12 hospital Kementerian Kesihatan, dijangka mulai akhir tahun ini, katanya.

"Kriteria pemilihan pesakit yang akan menerima rawatan itu akan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan pakar klinikal,” kata beliau.

Dr Subramaniam berkata, terdapat kira-kira 500,000 penghidap Hepatitis C di Malaysia ketika ini dan dianggarkan 2,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Amalan mendapatkan bekalan air menerusi Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) sebagai sumber air alternatif boleh membantu kerajaan menjimatkan kos merawat air.
  • SHAH ALAM - Persatuan Hospital Swasta (APHM) berharap kerajaan mempertimbangkan rayuan mereka untuk tidak mengenakan GST ke atas ubat-ubatan, peralatan perubatan dan sumber perkhidmatan luar bagi hospital swasta.
  • KUALA LUMPUR - - Kementerian Kesihatan sedang menimbang mekanisme untuk membiayai kos rawatan pesakit luar yang berdaftar di hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam negara ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.