KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengesahkan pihaknya tidak mengintip atau memantau mana-mana bekas pemimpin kerajaan mahupun ahli politik menerusi talian.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, isu intipan dibuat pihak tertentu yang sengaja mahu mengambil kesempatan terhadap keterbukaan dilaksanakan Kerajaan PH hari ini.

“Tidak ada intip mana-mana. Kita tidak mengganggu privasi asalkan perkara tersebut dibuat mengikut undang-undang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan nafi kenyataan TMJ]

“Setakat ini tidak ada arahan. Tidak benar. Ini satu perkara yang nakal,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Jamuan Rakyat Sempena Awal Muharram di Kubang Kerian yang dimeriahkan lebih 3,000 pengunjung.

Hadir sama, Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamaruddin Mat Nor dan Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir.

Mengulas lanjut perkara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah itu juga berkata,  sekiranya sesuatu perkara yang dibuat itu bertentangan dengan undang-undang, berniat mahu sebar fitnah atau mewujudkan keadaan tidak selamat maka penguatkuasaan akan dibuat.

“Itu perkara biasa (tindakan undang-undang),” katanya yang turut mahukan rakyat Kelantan mengambil peluang sempena Muharram ini  melakukan perubahan di dalam hidup dengan memilih perkara lebih baik termasuk kerajaan.