SENAWANG - Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ingin bersiaran secara langsung di televisyen selama sejam bagi menjelaskan isu Amanat Haji Hadi boleh mengundang risiko kepada masyarakat.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, perbuatan pemimpin itu dikhuatiri mampu merosakkan minda pendengar dan seterusnya berupaya menggugat keharmonian lantaran segala kenyataan bakal dibuat tanpa melalui sebarang penapisan.

“Sekurang-kurangnya kita perlu tahu terlebih dahulu isi kandungan mesej yang ingin disampaikan beliau sebelum boleh disiarkan menerusi kaca televisyen.

“Kita risau seandainya perkataan yang keluar dari mulut beliau nanti mampu meracuni minda penonton untuk mempercayai sesuatu yang tidak benar,” katanya pada satu sidang media semasa menghadiri program Selamatkan Bumi Gaza, Malam Kutipan Dana Bersamamu Palestin anjuran VIC Motorsports Club Malaysia di Dataran Senawang, semalam.

Menurutnya, Abdul Hadi tidak perlu bersusah payah untuk bersiaran secara langsung, tetapi cukuplah sekadar membuat penjelasan melalui YouTube, sidang media, blog atau penulisan artikel.

“Cara ini dilihat lebih wajar, selamat dan praktikal bagi semua pihak selain dapat hindar sebarang kontroversi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, beliau kesal dengan insiden berlaku di Felda Bukit Rokan Utara pada 20 Disember lalu.

“Kalau boleh kita tidak mahu kejadian seperti begini berlaku apatah lagi berulang dalam negara yang aman damai.

“Sebenarnya saya sendiri tidak pasti pihak mana yang bersalah. Bagaimanapun melalui beberapa rakaman video yang saya tonton jelas menunjukkan punca pergeseran telah dicetuskan oleh pihak konvoi,” katanya.

Ditanya tentang nasib bakal menimpa pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K Rajagobal, rentetan kegagalannya mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki dimenangi pada 2010, beliau berkata, sepatutnya jurulatih berkenaan diberikan peluang sekali lagi untuk terus membimbing skuad Harimau Malaya.

“Kita tidak seharusnya melupakan begitu sahaja segala jasa disumbangkan sebelum ini dalam memartabatkan bola sepak negara di mata dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.