KUALA LUMPUR - Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bagi tempoh tiga tahun akan datang dijangka menyaksikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Anti-Rasuah terus mempertingkat proses perubahan yang dicetuskan dalam GTP 1.0 dengan tiga aliran kerja menjadi tunjang semua usaha NKRA itu.

Menurut Laporan Tahunan GTP 2012 terbitan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri, tiga aliran kerja itu ialah
agensi penguatkusaan, rasuah besar dan perolehan kerajaan.

Laporan itu menyebut GTP 2.0 bakal menyaksikan penambahan komponen pendidikan kepada generasi muda untuk membentuk generasi akan datang yang peka dan bersikap proaktif terhadap usaha membanteras rasuah.

Antara elemen dalam pendidikan yang akan diketengahkan ialah penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di Maktab Perguruan, memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah serta latihan kepada anggota parlimen.

Rangka kerja dan garis panduan yang menentukan pembiayaan politik juga merupakan satu inisiatif utama untuk GTP 2.0 dan kerja pelaksanaan bermula pada tahun lepas iaitu bertujuan mengurangkan peluang penyaluran keluar dana yang dikhususkan untuk parti politik oleh pihak ketiga dengan mewujudkan peratusan baru berkaitan pengurusan dana.

Menurut laporan itu, skor ranking indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2012, menunjukkan peningkatan kepada tangga ke-54 daripada kedudukan 60 pada tahun
lepas, suatu peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan ke-58.

Pencapaian itu juga meletakkan Malaysia pada kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asean iaitu dengan 49 mata daripada 100 dalam pengiraan CPI. Singapura dan Brunei, masing-masing memperoleh 55 dan 87 mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam mukadimah laporan itu mengenai usaha membanteras rasuah berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) negara iaitu merupakan bukti kukuh kerajaan serius dalam usaha mengurangkan rasuah di negara ini.

Katanya pencapaian CPI negara diperoleh daripada kajian oleh Transparency International (TI) termasuk Bertelsmann Stiftung, Projek Keadilan Dunia, Firma
Perunding Risiko Politik dan Ekonomi, Forum Ekonomi Dunia, Economist Intelligence Unit, Global Insight Country Risk Group, Institute of Management
Development dan Bribe Payers Survey, Transparency International.

NKRA turut menjana beberapa keberhasilan pada tahun lepas termasuk pengumuman penambahbaikan pengurusan dan politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mewujudkan unit pematuhan di semua badan kerajaan, mengurangkan peluang berlakunya rasuah melalui automasi, mewujudkan Perbadanan Pengurusan Aset Pusat dan penambahbaikan kepada program Ikrar Integriti Korporat (CIP).

Pencapaian itu termasuk sebanyak 154 syarikat menandatangani CIP iaitu merupakan komitmen bertulis oleh penandatangan untuk membasmi rasuah di tempat kerja masing-masing. Sebanyak 404 kes diproses dan 258 kes diselesaikan (Perbicaraan Kes Rasuah), seramai 96 individu diberi perlindungan identiti (Akta Perlindungan Pemberi Maklumat) dan sebanyak 14 sistem Automated Enforcement System (AES) dipasang dalam fasa pertama pelaksanaannya.

Pewujudan portal MyProcurement pula menunjukkan semua tender kerajaan dan bidaan berjaya disenaraikan menerusi pangkalan data dalam talian dengan
memaparkan 6,688 kontrak. - Bernama