BATU PAHAT - Kerajaan perlu membelanjakan RM43 bilion jika Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan, kata Perdana Menteri hari ini. 

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan memansuhkan PTPTN itu akan hanya membebankan kerajaan.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas desakan daripada parti-parti pembangkang yang bercadang memansuhkan PTPTN jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang ini.

"Hanya ada tiga buah negara di dunia yang menanggung sepenuhnya pengajian tinggi rakyatnya seperti Norway. Tetapi Norway mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyatnya," katanya ketika merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di yang dihadiri 50,000 rakyat di Stadium Batu Pahat di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak mahu membebankan rakyat dengan mengenakan cukai yang tinggi berikutan keputusan untuk menghapuskan PTPTN.

"Kita tidak mahu membebankan rakyat dengan cukai yang terlalu tinggi," katanya.

Najib berkata, pada ketika ini pun kerajaan menanggung kira-kira 90 peratus daripada kos pengajian tinggi rakyat, dengan PTPTN hanya digunakan untuk membayar yuran pengajian pelajar.

Sebelum itu dalam ucapannya, Najib berkata beliau akan mengumumkan keputusan kerajaan tentang dasar gaji minimum pada akhir bulan ini.

Beliau juga mengumumkan kepada ribuan rakyat yang menghadiri program itu bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memperuntukkan RM6 juta bagi pembinaan pasar awam baru Batu Pahat.

Kerajaan menurutnya turut bersetuju untuk memperuntukkan RM3 juta bagi pembinaan pasar borong baru daerah itu.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan bagi membaiki longkang-longkang yang tersumbat di bandar Batu Pahat. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mensabotaj ekonomi dan mengelirukan rakyat dengan persepsi negatif bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN).
  • BATU PAHAT - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan kenaikan harga ikan sepanjang Ramadan ini dan menjelang perayaan Aidilfitri.