KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memantau jumlah pekerja asing yang terlibat dengan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) bagi memastikan jumlah itu berkurangan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata jumlah pekerja asing yang rata-ratanya pekerja am dan separa mahir dan terlibat dengan pekerjaan 3D – kotor, bahaya dan sukar, akan berkurangan selepas fasa pembinaan selesai.

“Jumlah pekerja asing ini akan berkurangan secara berperingkat sejurus tamatnya fasa pembinaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai langkah yang diambil untuk mengurangkan jumlah pekerja asing di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

PIC ialah projek pelaburan terbesar Petronas di Malaysia yang dibangunkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Projek RAPID juga merupakan sebahagian daripada PIPC.

Mohd Radzi berkata berdasarkan statistik setakat April 2018, sebanyak 72 peratus atau 40,446 daripada jumlah keseluruhan 56,176 pekerja yang terlibat dalam pembangunan projek PIC terdiri daripada rakyat Malaysia, manakala baki 28 peratus atau 15,730 orang membabitkan pekerja asing.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri menubuhkan pasukan petugas yang dianggotai wakil dari Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen Putrajaya, Jabatan Imigresen Johor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan Johor Petroleum Development Corporation Bhd.

“Pasukan petugas ini berperanan menyelaras serta memastikan kemasukan pekerja asing mengikut prosedur yang ditetapkan selain memastikan mereka ini dihantar pulang ke negara asal setelah tamat kontrak pekerjaan pembinaan PIC,” katanya.

Sehingga 31 Mei 2018, fasa pembinaan PIC berjalan mengikut jadual dengan kemajuan projek mencapai 91 peratus. – Bernama