KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan pimpinan Pas diminta meneruskan kerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam semua aspek pembangunan untuk dinikmati rakyat negeri ini.

Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) yang mencadangkan perkara itu berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan bantuan banjir telah membawa banyak manfaat kepada rakyat dan ia perlu diperluaskan secara lebih menyeluruh kepada aspek lain.

"Kalau dalam isu banjir kedua-dua pihak boleh duduk bersama, apa salah kerjasama itu diteruskan dalam semua aspek lain di Kelantan bagi memberi ruang kepada rakyat dan negeri ini menikmati lebih banyak manfaat," katanya semasa membahaskan ucapan terima kasih terhadap titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Nozula berkata bencana banjir luar biasa yang berlaku Disember tahun lepas, mengajak semua pihak berfikir pentingnya kerjasama dan komitmen kerajaan negeri dan pusat dalam membela nasib rakyat. 

Sementara itu, Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) meminta kerajaan negeri mempercepatkan penyediaan tanah untuk pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir yang kediaman mereka musnah akibat banjir itu. 

Beliau berkata kerajaan persekutuan telah menyediakan peruntukan kewangan bagi pembinaan rumah kekal itu bagaimanapun masalah tanah yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, menjadi kekangan kepada pembinaan rumah itu.

Sebelum berlaku banjir itu, mangsa terbabit mendiami rumah yang dibina atas tanah rizab sungai dan Keretapi Tanah Melayu Berhad, dan kerajaan tidak membenarkan mereka membina semula rumah di atas tanah rizab itu, kata Mat Yusoff.

Katanya pembinaan rumah kekal dan rumah sementara (transit) perlu disegerakan bagi mengelakkan mangsa banjir terlalu lama tinggal dalam khemah.

Ketika menggulung perbahasan tersebut, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob memberi jaminan kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyiapkan pembinaan rumah berkenaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi. 

Sidang dewan bersambung esok.  - Bernama