KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) hari ini meminta kerajaan memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana gagal mencapai objektifnya.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PLKN tidak berhasil untuk memupuk kesatuan kaum dan jati diri di kalangan pelatih selain menelan belanja yang terlalu tinggi.

"Kalau kita lihat belanja untuk program PLKN menelan belanja tahunan sehingga RM 800 juta iaitu belanja yang lebih besar daripada perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan(KBS) iaitu RM 700 juta yang juga mempunyai matlamat yang sama.

"Program ini juga telah menyebabkan sebanyak 22 kematian semenjak penubuhannya dan bilangan kes pelatih hamil dan bersalin sewaktu di dalam program.

"Oleh itu program ini patut dikaji semula sehingga satu kajian menyeluruh dibuat oleh Parliamentary Select Committee (PSC)," katanya ketika pembentangan Pra Belanjawan PR di bangunan Parlimen hari ini.

PLKN merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di pusat latihannya di  seluruh Malaysia bagi  yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah pada peringkat SPM atau berumur 17 tahun.

PLKN mula diperkenalkan pada tahun 2004 selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara pada 25 Jun 2003 manakala Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang ini pada 7 Julai 2003.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.