• Pekedai menunjukkan antara produk air jampi yang mendapat sambutan. Pekedai menunjukkan antara produk air jampi yang mendapat sambutan.
1 /

ALOR SETAR - Keghairahan segelintir masyarakat mempercayai keajaiban air rukyah atau air jampi yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit, menjadi bijak, mendapat jodoh mahupun naik pangkat wajar dipertimbangkan secara rasional diri masing-masing.

Kebanjiran produk bermotifkan air jampi dilihat memenuhi pelbagai premis termasuk farmasi, pasar raya, kios, butik serta individu sehingga ia bukan lagi perkara asing, sebaliknya seakan-akan telah menjadi sebahagian hidup sesetengah masyarakat.

Peniaga tempatan enggan dikenali, 63, berkata, air jampi antara produk terlaris di kedainya di pasaran masa kini kerana dipercayai mampu merealisasikan hasrat penggunanya.

“Jualan air jampi dapat sambutan hangat kalangan pembeli berikutan ia boleh didapatkan dengan harga serendah RM1 sahaja.

“Kebanyakan pembeli mengatakan mereka tidak perlu lagi bersusah payah habiskan banyak wang, masa dan tenaga semata-mata ingin mendapatkan rawatan bagi setengah penyakit," katanya semasa tinjauan Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, penduduk, Fauzi Zakaria, 55, berkata, penjualan produk air jampi secara berleluasa menyebabkan imej orang beragama Islam sedikit tercemar, ditambah apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan kanak-kanak untuk menjual produk itu.

"Jika pihak berkaitan ikhlas merawat, maka air jampi harus diberikan cara ikhlas juga, sedangkan perubatan Islam kaedah terbukti baik, namun kini berlaku pula penetapan harga pada produk itu," katanya.

Fauzi berkata, mendapatkan air jampi daripada individu tertentu bagi merawat menggunakan perubatan Islam tidak bermasalah, namun apabila ia dikomersialkan, keadaan menyebabkannya menjadi tidak ikhlas kerana dirasakan ingin mengambil keuntungan.

Manakala, Muhammad Suhardi Mohd Ali, 38, berkata, air jampi berunsurkan spiritual, maka ia tidak sepatutnya dikomersialkan kerana dikhuatiri bakal menimbulkan salah faham terhadap orang yang mengamalkan agama lain, selain daripada orang Islam sendiri.

Katanya, hanya fahaman akidah yang betul mampu menangani ketaasuban masyarakat terhadap air jampi ini.

"Sebarang perubatan yang digunakan, tidak kira sama ada berunsurkan sains mahupun spiritual (air jampi) keyakinan bahawa ia mampu merawat pelbagai penyakit haruslah terletak pada ALLAH dan bukannya mempercayai manusia ataupun ubat” katanya.

Katanya, tanggapan ini salah jadi jika seseorang itu kurang fahaman, maka secara tidak langsung akidah pihak berkenaan telah songsang dari landasan agama yang sebenar.

Suhardi berkata, jika pihak berkaitan telah meneliti dan menemui bahawa produk ini mendatangkan kemudaratan, seperti harganya tidak munasabah dan tidak bersepadan dengan saiznya, maka mereka perlu membanteras keadaan ini terus berleluasa.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menasihatkan agar air jampi tidak dikomersialkan berikutan kerisauan ia meninggalkan tanggapan tertentu terhadap kaedah perubatan Islam bagi sesetengah pihak.

Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan kriteria penjualan air jampi haruslah berdasarkan satu garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi semua terlibat.