MELAKA - "Orang ramai diminta supaya tidak terus menghukum individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan rasuah sebagai bersalah," kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata undang-undang di negara ini telah memperuntukkan bahawa mana-mana pertuduhan terhadap seseorang itu perlu dibuktikan terlebih dahulu di mahkamah sebelum individu itu disabitkan bersalah.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang jenayah rasuah di negeri ini, dan dalam masa sama menegaskan beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terutama penjawat awam terlibat dengan jenayah itu.

"Mana-mana pegawai di sekeliling saya didapati atau disyaki terlibat dengan rasuah, maka mereka merupakan subjek kepada siasatan mengikut proses yang telah ditetapkan kerana tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka di Dewan Seri Negeri, Kompleks Seri Negeri, Ayer Kerohyang turut dihadiri kira-kira 500 penjawat awam.

Pada 28 November lalu SPRM telah menahan seorang penjawat awam bergelar 'Datuk' di negeri ini bagi membantu siasatan rasuah melibatkan projek pihak berkuasa tempatan dan individu itu dilepaskan dengan jaminan SPRM RM100,000 pada 2 Disember lalu selepas tempoh reman empat hari berakhir.

Dalam pada itu, Idris menyeru kepada semua penjawat awam di negeri itu agar menjauhkan diri daripada kegiatan rasuah dalam usaha memastikan kerajaan negeri dapat memberikan perkhidmatan berintegriti kepada rakyat.

"Penjawat awam bukan sahaja tidak dibenarkan melibatkan diri dengan rasuah, malah tidak boleh mendekatinya pun. Oleh itu rasuah ini perlulah dipandang sebagai suatu (perbuatan) yang menjijikkan," katanya.

Beliau berkata usaha membanteras rasuah tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya orang ramai. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 disifatkan seakan mencabar kewibawaan, kedudukan dan keistimewaan bahasa kebangsaan itu.
  • MELAKA - "Pelaksanaan cukai pelancongan yang dijadual pada 1 Julai depan dijangka tidak akan memberi kesan terhadap kedatangan pelancong tempatan atau antarabangsa ke negeri ini," kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.