SHAH ALAM- Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengatur pertemuan bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan dan menyerahkan memorandum berhubung isu penggantungan lima penuntut Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah.

Semalam, Abdul Hadi berkata, beliau masih belum menerima apa-apa memorandum daripada pertubuhan pelajar berhubung penggantungan pelajar tersebut.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Abdul Razab berkata, pertemuan itu amat penting bagi membolehkan Abdul Hadi menerima maklumat dan seterusnya mencari jalan penyelesaian yang adil.

Menurut beliau,  memorandum tersebut telah diberikan pada Mei lalu dan diterima oleh Naib Ketua Pemuda Pas pada ketika itu iaitu Sabky Yusof.

"Kami tidak menyalahkan Presiden jika beliau tidak menerima memorandum itu. Tetapi mungkin ada pihak tidak bertanggungjawab yang tidak menyerahkan memorandum itu kerana pada tahun lepas, Dewan Pemuda memaklumkan bahawa mereka mewakili Abdul Hadi.

"Oleh itu, kami akan mengaturkan pertemuan dengan Presiden Pas dan akan menyerahkan memorandum sebelum ini dan yang terbaru. Mahasiswa mengharapkan pertemuan ini nanti bakal membuahkan solusi yang bermanfaat untuk semua pihak dan mengiktiraf perjuangan memansuhkan (Akta Universiti dan Kolej Universiti) Auku sebagai akta yang telah menzalimi mahasiswa selama 40 tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Syukri turut berkata, pada tahun lalu, memorandum sama juga telah diberi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi turut menegaskan, dalam laporan semalam bahawa walaupun pertubuhan pelajar terbabit akan menghantar memorandum kepadanya, tetapi sehingga kini "mereka tak pun menyerahkan memorandum itu kepada saya."

"Kalau boleh saya pun nak tengok juga memorandum itu dan nak tahu juga apa yang nak dikatakan oleh para pelajar mengenai perkara itu," katanya.

Justeru, Syukri menyarankan agar Abdul Hadi patut merujuk perkara tersebut kepada Dewan Pemuda Pas, khususnya Ketua Pemudanya sama ada pernah menerima memorandum daripada mahasiswa atau tidak.

"Kami masih lagi mempunyai salinan memorandum tersebut. Antara isi kandungan memorandum itu ialah memohon pertimbangan Abdul Hadi untuk menasihati Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agar tidak menggunakan Auku sebagai undang-undang di Kedah.  

“Kami juga tidak nampak sebarang tindakan serius daripada Pas khususnya Dewan Pemuda untuk menasihati Azizan. Kami juga sehingga kini melihat Menteri Besar Kedah masih berpendirian untuk mempertahankan Auku,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.