Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin


PARIT - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyangkal dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya media Umno menggunakan sebahagian sahaja kenyataannya dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) berhubung sokongan ketua pembangkang itu terhadap Israel.

Beliau berkata, tuduhan Anwar itu menggambarkan seolah-olah media Umno yang memutar belit kenyataannya yang disiarkan dalam akhbar antarabangsa itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di di sini hari ini, Khairy berkata temu bual yang disiarkan dalam akhbar WSJ jelas menunjukkan bahawa Anwar menyokong usaha menjaga keselamatan Israel.

"Dalam kenyataan tersebut, dia kata dia sokong segala pertahanan  Israel," katanya.

Laman media rasmi Parti Keadilan Rakyat, KeadilanDaily, hari ini melaporkan bahawa Anwar dalam pertemuan bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjelaskan bahawa salah faham isu itu timbul disebabkan media Umno hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh WSJ bulan lepas.

Khairy berkata, kerajaan mempunyai polisi dan  pendirian yang jelas bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dan diplomatik dengan Israel.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya sedar bahawa ada hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel tetapi ia adalah  hubungan antara  syarikat.

"Saya harap perkara ini dapat diketahui umum bahawa kita berdagang  bukan kerana kita sokong Israel tetapi ini keperluan dari segi globalisasi," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno akan mengadakan sesi ceramah di seluruh negara dalam masa terdekat bagi memberi penerangan  dan penjelasan berhubung tindakan Anwar itu kepada orang ramai.

"Kita akan arah unit pemidato Pemuda Umno untuk pergi ke setiap  negeri bagi menyampaikan kepada orang ramai bahawa sokongan  terhadap tindakan Anwar itu adalah sama seperti menyokong Israel," katanya. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.