PUTRAJAYA - Tan Sri Isa Samad bersetuju untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan rela hati, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV baharu berkuat kuasa serta-merta.

Bagi menghargai Isa, beliau dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), juga berkuat kuasa serta-merta.

Najib berkata sebelum itu beliau telah menemui Isa dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala bagi membincangkan secara mendalam mengenai masa depan FGV dan peranan Isa.

"Isa dengan rela hati bersetuju melepaskan jawatan Pengerusi FGV.

"Untuk menghargai peranan Isa, saya bersetuju melantik beliau sebagai pemangku Pengerusi SPAD," katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci kepada pemilik-pemilik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Selasih, di sini hari ini.

Najib berkata tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan dan melalui Lembaga Siasatan FGV terhadap perkara yang telah berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga individu lain yang telah diarahkan bercuti bemula 6 Jun lepas oleh Lembaga Pengarah FGV.

"Ini dikehendaki kerana ia merupakan prinsip tadbir urus syarikat senaraian awam. Siasatan bukan bererti mereka bersalah.

"Pihak Lembaga Pengarah (FGV) akan membuat keputusan adil sebaik mungkin," katanya.

Selain Zakaria, turut diarah bercuti ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim.

Dengan penyusunan semula, Najib berkata ia mencerminkan hasrat kerajaan untuk meletakkan FGV di landasan yang kukuh dan FGV mempunyai masa depan yang cerah.

Ditanya mengapa Sulaiman dilantik sebagai pemangku, beliau berkata: "Ini sehingga kami membuat keputusan muktamad. Kita perlu ada perubahan segera. Kalau orang baru perlu dilantik lembaga pengarah, ia mengambil masa.

"Kami mahu FGV terus tanpa gangguan," katanya.

Sulaiman, 67, merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV serta Pengerusi Telekom Malaysia (TM) dan Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Beliau juga tokoh yang berpengalaman luas dan pernah berkhidmat dalam kerajaan selama 38 tahun dengan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Zakaria, Ahmad Tifli, Ahmad Salman dan Kamarzaman bercuti bermula 6 Jun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam syarikat senaraian awam itu.

Kerajaan seterusnya melantik Idris sebagai pihak bebas bagi menangani kemelut tersebut. - Bernama
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad yang kini bercuti, perlu menunggu lebih lama berhubung hasil siasatan dalaman membabitkan dirinya.
  • KUALA LUMPUR - Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad yang kini bercuti susulan siasatan dalaman, akan mengetahui nasibnya hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Pengerusi baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, tiba di Menara Felda pada 8.15 pagi hari ini untuk tugas pertamanya dengan syarikat berkenaan.
  • KUALA LUMPUR - Pengerusi baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Azhar Abdul Hamid akan mempengerusikan mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah dan pengurusan utama apabila memulakan tugas pertamanya dengan syarikat itu, Isnin ini.
  • SEPANG - Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) dijangka menerima laporan daripada panel siasatan dalaman ke atas empat orang bekas ahli lembaga pengarahnya pada penghujung bulan ini, kata Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.