KOTA KINABALU - Hukuman rotan di sekolah masih relevan bagi tujuan mendidik dan mendisiplinkan pelajar, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Komander (Kehormat) Hashim Adnan.
   
Katanya, walaupun banyak negara khususnya di barat sudah memansuhkan hukuman rotan di sekolah, dalam konteks negara-negara di timur termasuk Malaysia, hukuman rotan di sekolah masih diperlukan.
   
"Kita berharap, kalau dapat, kita teruskan juga hukuman rotan ini tetapi secara berhemahlah, bukan sesuka hati...merotan itu bukan sewenang-wenangnya. Ia perlu dijalankan secara profesional dan setelah berkali-kali amaran dikeluarkan. Kalau bimbingan dan pendekatan psikologi masih tak jalan barulah rotan.
   
"Itu pun bukan kita sesuka hati guna rotan. Bukan sampai cedera. Kalau boleh bahagian yang perlu dirotan ialah di bahagian punggung sahaja," katanya kepada Bernama selepas menjadi panelis Dialog Polisi dan Libat Urus Awam: Hukuman Rotan Terhadap Murid Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan di Universiti Malaysia Sabah, hari ini.
   
Menurut Hashim menangani masalah disiplin di kalangan pelajar seperti ponteng dan melepak pada masa persekolahan memerlukan ketegasan pihak sekolah termasuk menggunakan hukuman rotan bagi memastikan pelajar tidak sewenang-wenang melanggar peraturan sekolah.

Katanya, sekiranya masalah disiplin tidak ditangani secara bijaksana dikhuatiri ia akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah sekali gus boleh menjejaskan prestasi pendidikan anak bangsa yang merupakan pewaris generasi masa depan Malaysia.
   
Hashim berkata, untuk melahirkan generasi yang baik dan berguna kepada negara, didikan perlu bermula sejak di bangku sekolah lagi, kerana kegagalan pendidikan generasi baharu di sekolah boleh menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat di kemudian hari.
   
"Hari ini 75 peratus daripada guru di Malaysia adalah wanita. Guru lelaki sedikit sahaja. Kalau guru lelaki sikit bagaimana nak tangani pelajar-pelajar lelaki (bermasalah). Pelajar perempuan tidak seteruk pelajar lelaki (dari segi disiplin)," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULIM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan tidak menyekat peruntukan guru yang melaksanakan kursus-kursus seperti mana terkandung dalam Pekeliling Kewangan.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan sedia menerima pendapat orang ramai berhubung hukuman rotan ke atas pelajar sekolah, kata Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.