• Nasrudin Hasan Ketua Pemuda Pas , Nasrudin Hassan Tantawi
1 /

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas , Nasrudin Hassan Tantawi mempertahankan kenyataannya bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah secara terbuka menyatakan hasrat sedia mempertimbangkan pelaksanaan hudud.

Katanya, kenyataan itu dibuat Karpal sewaktu Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) kali ke-2 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, 19 Disember 2010.

Nasrudin dengan tegas menyatakan beliau tidak menipu, tambahan pula kenyataan Karpal itu turut disaksikan ribuan ahli dan pemimpin PR di konvensyen tersebut.

Beliau juga memberikan bukti bahawa kenyataan Karpal boleh dilayari menerusi You Tube bawah tajuk, Karpal Singh: Pakatan Rakyat Convention 2010 (Part 2) (http://www.youtube. com/watch?v=Mvin2nVQg0& feature=youtube_ gdata_player).

“Pas akan tetap memperjuangkan Islam dan hudud sebahagian daripada perjuangan kita. Pas tidak terikat dengan sesiapa. Orang lain boleh bercakap dan menarik balik apa yang diucapkannya. Jika Karpal menafikannya, itu terpulang kepadanya,” katanya.

Khamis lalu, Nasrudin mendakwa Karpal mengubah pendiriannya yang sebelum ini tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat dalam sesi Debat Sinar anjuran Sinar Harian.

Karpal dalam kenyataan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam menafikan dakwaan Nasrudin, beliau pernah membuat kenyataan seumpama itu sekali gus bertegas tidak akan bertolak ansur serta kekal untuk tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud.

Karpal berkata, itu bukan pendiriannya sahaja tetapi juga adalah ketetapan DAP.

Menurutnya, isu hudud tidak terbuka dengan mana-mana rundingan serta apa jua bentuk perbincangan.