KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad menegaskan tiada keperluan untuk himpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diadakan kerana kerajaan belum memutuskan untuk meratifikasi konvensyen itu.

Beliau berkata, hasrat penganjuran himpunan itu dilihat seolah-olah sengaja dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab mahu mengapi-apikan keadaan dan sekadar untuk mempolitikkan isu.

“Saya pun hairan kenapa mereka nak berhimpun sebab tak ada orang yang nak tandangan pun (meratifikasi ICERD) setakat ini. Lagi mereka kecoh, lagi menambahkan kekeliruan.

“Sebab kita nak tolak atau sokong sesuatu sebabnya mesti jelas. Jika golongan ini nak tolak ICERD tetapi orang tak faham apa sebab dia, memberikan gambaran yang kita ini mahu mengamalkan diskriminasi ras, sedangkan bukan begitu.

“Kalau kita nak tolak, kena nyatakan kenapa, apa masalahnya, memang kita tidak setuju dengan diskrimasi ras tetapi dalam itu ada benda-benda yang bercanggah dengan Perlembagaan negara dan sebagainya.

"Jadi perlu dijelaskanlah,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen ‘Buy Malaysia First’  di MRT Pasar Seni, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang permohonan berhubung himpunan berkenaan.

Himpunan tolak cadangan meratifikasi ICERD dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka 8 Disember depan.

Khalid pada Isnin lepas menyatakan kesukaran bagi pihaknya membenarkan penganjuran himpunan berkenaan di Dataran Merdeka sekiranya membabitkan penyertaan yang ramai.

Bagaimanapun sebarang pertimbangan bergantung kepada nasihat pihak polis dan permohonan yang dibuat penganjur.