BARU empat hari meraikan Tahun Baharu Cina dan ketika ucapan 'Gong Xi Fa Chai' masih kedengaran, tarian singa dilihat rancak menari di pusat-pusat membeli belah pada malam 31 Januari lalu, tiba-tiba satu berita mendukacitakan rakyat tersebar secara meluas dan pantas di seluruh negara.

Minyak petrol dan diesel naik lagi ! Bagi kaum Cina, ucapan 'Gong Xi Fa Chai' (semoga kaya) seperti tidak membawa apa-apa makna lagi. Raya pun belum habis, untung pun belum dapat, harga minyak pulak naik!

Berkuat kuasa mulai 1 Februari ini, RON 95 dijual pada harga RM2.30 seliter, RON 97 pada RM2.60 seliter dan diesel RM2.15 seliter. Ketiga-tiga bahan api tersebut naik mendadak daripada 20 sen bagi RON95, RON97 naik 20 sen manakala diesel naik 15 sen.

Bagi rakyat, apa yang mereka tahu, semua barang naik sepanjang masa. Sepanjang ingatan mereka, tidak ada satu pun harga barang menjadi lebih murah berbanding dulu. Minyak petrol pernah turun 5 sen seliter, tetapi naik 10 sen pada bulan berikutnya!

Kalau turun 5 sen, kemudian naik 10 sen semula, apakah itu namanya 'turun'?

Hari terakhir setiap bulan adalah 'hari pertanyaan' mengenai harga minyak petrol. "Naik atau turun?". Itulah kata-kata rakyat jelata yang biasa kita dengar sepanjang hari selagi belum ada pengumuman rasmi dibuat.

Pada malam itu juga, kebanyakan stesen minyak akan dipenuhi deretan kenderaan sekiranya telah diketahui harga minyak petrol akan naik mulai keesokan hari.  

Bermula Julai 2015, kerajaan tidak lagi mengumumkan mengenai perubahan harga bahan api kepada orang ramai. Sebaliknya, penetapan minyak petrol dan diesel adalah berdasarkan sistem apungan terurus berikutan penghapusan subsidi bahan api oleh kerajaan.

Penetapan harga runcit minyak petrol dan diesel kini bergantung kepada apungan terurus melalui harga purata bulanan pasaran minyak dunia. Sekiranya harga pasaran minyak mentah dunia naik, harga runcit bagi bahan api ini pun turut meningkat.

Pengiraan ini dikatakan berdasarkan harga purata bulan sebelumnya dan akan menjadi harga untuk bulan terbaharu.

Namun bagi pengguna biasa, barangkali tidak ada seorang pun yang boleh memberikan jawapan tepat bagaimana cara pengiraan harga ini. Apakah kerajaan bersedia mendedahkan formula pengiraan ini kepada kita semua?

Rakyat secara umumnya mengetahui nilai ringgit di pasaran antarabangsa semakin menurun sejak akhir-akhir ini, terutama sekali perbandingan dengan Dolar Amerika Syarikat. Inilah antara punca rakyat terpaksa dibebani dengan kenaikan harga minyak petrol yang mahal.

Tetapi sekiranya ringgit berbanding dolar berada dalam keadaan kukuh, harga minyak akan kembali menurun. Namun mampukah nilai ringgit akan kembali kukuh? Sekalipun kembali kukuh, apakah harga barang boleh kembali murah seperti sebelum ini?

Rakyat pada hari ini bukan sahaja terus tertekan dengan harga barang yang semakin mahal, malahan sering kali tertanya-tanya apakah kerajaan tidak pernah berusaha mencari jalan bagaimana meringankan bebanan rakyat?

Sesebuah kerajaan akan dianggap kerajaan yang berprihatin sekiranya ia tahu, faham dan cepat bertindak mengatasi masalah yang dialami rakyat. Terserahlah kepada kerajaan bagaimana cara untuk membela nasib rakyatnya.

Sekiranya kerajaan tidak tahu macam mana nak buat, tahulah macam mana rakyat nak buat bila tiba pilihan raya nanti!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kejatuhan harga minyak dunia nyata lebih memberi impak besar buat Malaysia memandangkan negara ini adalah antara pengeluar minyak.
  • KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menghantar kargo gas asli cecair (LNG) yang pertama kepada Thailand di bawah perjanjian jual beli jangka panjang (SPA) yang ditandatangani antara subsidiarinya, Petronas LNG Ltd (PLL) dengan PTT Public Company Limited (PTT).