BAKRI - Kementerian Industri dan Asas Tani memberi jaminan bahawa harga beras tidak akan meningkat meskipun monopoli oleh Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas) sebagai pengeluar utama di negara ini dihentikan.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, malah penamatan monopoli itu dijangka mampu menurunkan lagi harga makanan ruji berkenaan atau ia terus kekal seperti harga pasaran.

“Saya pasti penamatan monopoli ini dapat menurunkan atau mengawal harga beras sebab ia berkaitan permintaan dan bekalan. Bila kita pecahkan monopoli ni, maka akan ada persaingan.

“Bernas tetap wujud, tapi nak buka monopoli itu pada individu sebab kita juga nak sesuaikan ia dengan manifesto Pakatan Harapan,” katanya sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penerimaan Sumbangan untuk Tabung Harapan bernilai lebih RM1 juta terdiri daripada pelbagai penyumbang di Parlimen ini.

Tambah Salahudin, keputusan penamatan monopoli terhadap Bernas juga secara tak langsung dapat memastikan jaminan terhadap keselamatan makanan serta kecukupan beras kepada rakyat.

Dalam pada itu, sebagai langkah proaktif, Salahudin turut mengarahkan Majlis Penasihat dan Setiausaha Kementerian untuk membentangkan kertas kerja mereka berkaitan isu ini.

“Pada masa sama, pihak korporat atau mereka yang pakar dalam bidang ini boleh memberikan kertas kerja kepada kami. Kementerian juga mengalu-alukan orang ramai untuk memberi pandangan dan pendapat mengenai hal ini di mana kesemua cadangan mereka itu akan kita putuskan di akhir nanti,” katanya.