KUALA TERENGGANU - Walaupun diberikan jaminan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ini hanya ke atas barang mewah sahaja, tiada jaminan kukuh ia tidak dikenakan terhadap barangan keperluan asas yang lain pada masa akan datang.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah mendakwa, sekiranya pengilang membuat sesuatu produk, ia akan di caj oleh kerajaan sebanyak enam peratus dan apabila pengilang menjual produknya kepada pembekal, harga akan dinaikkan lagi sebanyak enam peratus.

“Kalau harga jual barang itu kepada pembekal dahulu ialah RM100, sekarang sudah menjadi RM106. Si pembekal pula akan menjual barang itu kepada peruncit juga dengan harga tambahan sebanyak enam peratus daripada harga sebelumnya.

“Akhirnya peruncit akan menjual kepada pengguna dengan keadaan harga barang itu telah naik dan menjadi 6 peratus lebih daripada harga dahulu.

"Untuk pengisytiharan cukai itu pula, semua peniaga mestilah menyimpan resit jual beli mereka bagi rujukan,” katanya melalui satu kenyataan, semalam.

Katanya, kesan berantai cukai itu akhirnya akan dikenakan kepada pengguna belum termasuk asas harga barang yang sudah berubah naik.

“Nilai enam peratus bagi RM100 berbeza dengan enam peratus bagi RM200. Lebih malang lagi cukai itu tidak mengenal sesiapapun sama ada miskin atau kaya,” katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan sistem muamalat dalam Islam yang juga ada mengenakan cukai seperti jizyah, kharaj dan usyur yang mana setaraf dengan pendapatan orang yang dikenakan cukai itu iaitu jika semakin kaya, semakin banyak cukai dikenakan dan tidak dikenakan kepada golongan miskin.

“Apa yang menjadi masalah ialah GST atau cukai lain yang dilaksanakan oleh kerajaan terkena ke atas semua rakyat miskin ataupun kaya.

"Dalam Islam, kita tidak hanya bermuamalat di atas dunia sahaja, tetapi juga di akhirat," katanya.

Kata Mohd Nor,  cukai tersebut adalah perkara yang bukan sahaja berkait dunia tetapi hingga akhirat.

"Orang miskin tidak dikenakan cukai, kecuali kerana darurat yang mencengkam seperti perang,” katanya.

Mohd Nor berkata, beliau kesal kerana kerajaan mengagungkan sistem yang dicipta barat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

“Tiada roh dalam sistem kapitalis yang menindas lebih-lebih lagi ke atas golongan yang miskin dan lemah. Oleh itu kebimbangan kita ialah ketika di akhirat kerana tiada perlindungan kepada orang yang menganiaya orang lain,” katanya.