• Gerhana bulan separa - Foto Bernama Gerhana bulan separa - Foto Bernama
1 /

SEMPORNA - Gerhana bulan separa dapat dilihat bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam di Pulau Mabul di sini malam ini.

Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam.

Transit planet Zuhrah melintasi matahari akan berlaku pada pagi Rabu ini bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengah hari, lapor Bernama.

Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

Sementara itu, wartawan Sinar Harian Online, Nurul Aini Mohamed Ali memetik Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad antara lain berkata, rakyat Malaysia berpeluang  menyaksikan fenomena itu ketika matahari mula terbit.

"Planet Zuhrah juga dikenali sebagai 'Kejora' hanya boleh dilihat melintasi matahari 100 tahun akan datang, jadi orang ramai perlu mengambil peluang ini bagi menyaksikan keajaiban alam ini," katanya.

Tambah beliau, sebanyak lima teleskop akan disediakan pada hari itu bagi memberi peluang orang ramai menyaksikan fenomena tersebut.

Beliau ditemui pada sidang media sempena fenomen gerhana bulan separa yang berlaku bermula jam 7.18 dan berakhir jam 9.18 malam tadi.

Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa apabila bulan terbit dan dapat disaksikan sehingga 8.07 malam apabila bulan keluar sepenuhnya dari umbra Bumi.

"Penduduk di Asia Timur, Utara Amerika Barat, England dan Timur Kanada turut berpeluang menyaksikan fenomena ini," ujar beliau.

Angkasa menganjurkan program ini bagi menanam minat dalam bidang sains angkasa kepada orang ramai  pelajar sekolah khusunya.

"Fenomena yang sama hanya boleh disaksikan 26 April tahun depan," katanya.

Salah seorang pengunjung, Linda Osman  berkata, program ini memberi inspirasi kepada kanak-kanak bagi menyelami keajaiban alam dan memberi mereka maklumat secara terperinci mengenai fenomena gerhana bulan separa.

Bagi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Jannah Azmi, beliau didedahkan dengan pengetahuan ini secara praktikal kerana dapat menyaksikan gerhana secara langsung.

"Sesuai dengan jurusan fizik yang saya ambil, program ini sekali gus dapat menambah pengetahuan saya. Fenomena ini juga jarang berlaku dan saya tidak mahu melepaskan peluang pada malam ini," katanya.